PERSEMBAHAN percuma Prime Domestic malam esok.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Penantian peminat Prime Domestic untuk menikmati lagu mereka bakal menjadi kenyataan apabila album sulung berjudul Prima Domestika mula dipasarkan pertengahan bulan ini.

Sebagai penghargaan dan hadiah buat mereka yang menanti sejak proses rakaman pada 2012, Prime Domestik yang diterajui bekas pemain gitar Wings, Joe bersama Hillary (gitar), Aweera (penyanyi), Fauzi (bass) dan Ainol (dram) mengambil inisiatif mengadakan persembahan percuma di Oasis Village, Ara Damansara, Kuala Lumpur jam 9 malam esok.

Joe, 48, berkata, persembahan diadakan sempena Oasis Community Carnival Celebrating The F.A.C.E. of Urban Culture.

“April lalu kami sudah beraksi di House@GTower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Ia boleh dikatakan sebagai salam perkenalan bagi memperkenalkan anggota Prime Domestic dan single kami.

“Respons peminat sangat menggalakkan dan ini buat kami terfikir mengadakan persembahan kedua sebagai pradengar album sulung kami,” katanya.

Menurut Joe, kebiasaannya sesi pradengar hanya memperdengarkan lagu kepada wakil media menerusi cakera padat, tapi mereka melakukan kelainan dengan mengadakan persembahan ‘live’.

“Kami berjanji memberikan persembahan terbaik supaya semua yang hadir akan pulang dengan kepuasan,” katanya.

Joe berkata, Prime Domestic bakal membawakan lagu terbaru mereka seperti Ilusi Intonasi (instrumental), Lu Baca Sendiri, Malam XXXlll, Kurnia, Sidang Asap, Ritma Irama Kita, Satukan Impian, Sedingin Pluto, Takkan Aku Begitu dan Tekno Dewata.

Lagu ini hasil ciptaan Joe, Hillary, Datuk M Nasir, Acap dan Boy Cliffort.

Menariknya, peminat yang hadir boleh membuat tempahan awal album Prima Domestika dengan tawaran diskaun 15 peratus.

“Kami juga mungkin melancarkan kelab peminat Prime Domestic dan mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran.

“Kami juga menjual cenderahati Prime Domestic tapi dihadkan pada jumlah tertentu kerana mahu fokus kepada per sembahan,” katanya yang kini giat mengadakan latihan bersama anggota lain.

Joe berkata, persembahan ini tidak ditayangkan secara Facebook Live kerana mahu peminat hadir sendiri ke Oasis Village bagi menyaksikan persembahan mereka.

“Ini ibarat sesi pemanas badan kerana kami mengadakan konsert solo pada 9 Disember ini di tempat yang sama,” katanya.

Oasis Community Carnival Celebrating The F.A.C.E. of Urban Culture adalah karnival besar yang menampilkan pelbagai acara.

Selain Prime Domestic, beberapa band underground turut beraksi pada sebelah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 9:51 AM