SERTAI kumpulan King Musang program lawak Super Spontan Superstar 2017.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Tabiat melatah penyanyi dan pelakon, Amy Mastura, 46, memberi peluang kepadanya mencabar diri menyertai program lawak Super Spontan Superstar 2017.

Amy yang menyertai kumpulan King Musang turut bersama-sama artis lain seperti Shuib, Syuk Joras, Atu Zero, Fikry, Fad Bocey, Kamal Adli dan Zulin Aziz.

Mengakui kurang yakin pada awalnya, Amy berkata, sokongan daripada kawan memberi semangat untuknya mencuba.

“Sejujurnya saya tidak yakin menyertai program ini kerana tidak biasa berlawak dengan cara berlawan kalau setakat lawak sembang-sembang itu sudah biasa.

“Namun apabila diberi galakan saya cuba saja dan anggap ini pengalaman baru dalam karier seni saya,” katanya.

Tidak mengganggap sikap latah itu kelebihan buatnya dan kumpulan untuk menang, Amy berharap masing-masing melakukan peranan yang diberi.

“Mungkin latah membuatkan saya kelihatan lawak namun bimbang jika lawak yang disampaikan tidak kena dengan ujian yang mereka berikan,” katanya.

Amy berkata, walaupun masih kurang faham cara permainan program ini dia ada menonton program yang sebelumnya.

Namun mengakui belum boleh faham sepenuhnya dan berharap ‘boot camp’ yang diadakan dapat memberi banyak ilmu dan pendedahan kepadanya.

“Bimbang juga nanti apa yang disampaikan kurang jelas dan menimbulkan salah faham pada diri sendiri,” katanya.

Kumpulan King Musang akan berlawan dengan kumpulan Tenggiling Taiko yang dianggotai oleh Achey, Rahim, Sharif Zero, Danial, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Sharifah Shahira dan Ozlynn.

Program ini akan ditayangkan pada 8 September di saluran Astro Warna dan Warna HD bermula jam 10 malam selama lapan minggu berturut-turut.

Dalam pada itu, Amy yang bermula karier sebagai penyanyi dan kini pelakon tidak kisah jika dia dilabelkan sebagai pelawak.

“Semua bidang saya sudah cuba. Tidak kisahlah jika selepas ini orang menggelar saya pelawak. Saya okey saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 5:43 AM