PENGACARAAN Katy kurang menyengat.
MILEY tidak buat kejutan.
ED Sheeran menang Artis Terbaik.
UCAPAN Pink sangat beremosi.
KENDRICK menang besar.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Penyanyi rap Kendrick Lamar mencipta kemenangan besar dengan membolot enam trofi pada anugerah pengiktirafan video berprestij Video Music Awards 2017 (VMAs) yang berlangsung di Inglewood, California, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Kemenangan itu termasuk kategori utama iaitu Video Terbaik menerusi lagu Humble.

Dia terlebih dahulu memukau ramai dengan persembahan pembukaan menyanyikan lagu DNA dan Humble.

Menerusi ucapannya, Kendrick memberi kredit kemenangan besarnya itu kepada rakan yang bekerjasama dengannya iaitu penulis lagu Dave Free serta pengarah muzik videonya Dave Meyers.

“Terima kasih kerana membiarkan kami membawa pemikiran dan imaginasi liar ke tahap yang lebih jauh,” katanya.

Apa yang pasti, edisi kali ini turut menjadi perbualan apabila penyanyi Katy Perry diberikan penghormatan menjadi hos.

Bagaimanapun, ramai menyifatkan pengacaraannya tak memberi impak dan tidak diingati.

Dua penghibur malam itu Miley Cyrus dan Ed Sheeran juga ternyata memberi persembahan selamat berbanding sebelum ini.

Tiada lagi unsur kejutan dan elemen liar sebagaimana yang ditunjukkan pada persembahan tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa persembahan tetap berjaya menyentuh hati ramai apabila membawa mesej yang cukup kuat.

Segmen menggabungkan Logic, Alessia Cara dan DJ Khalid misalnya yang mempersembahkan lagu ‘1-800-273-8255’ diiringi individu terselamat dari cubaan bunuh diri jelas mencuri tumpuan. Lagu terbabit sendiri dinamakan sempena nombor talian National Suicide Prevention Lifeline.

Diberi penghormatan untuk memperkenalkan segmen persembahan berkenaan, penyanyi Kesha sempat memberikan ucapan penuh kata-kata semangat.

“Selagi kamu tidak berputus asa terhadap diri sendiri, selagi itu cahaya akan berjaya mengatasi kegelapan,” katanya.

Menjadi penerima anugerah Michael Jackson Video Vanguard Award tahun ini, Pink pula gagal menyembunyikan emosinya sewaktu menerima trofi berkenaan.

Penyanyi berkenaan cukup beremosi apabila berkongsi mengenai kisah anak perempuannya yang turut hadir pada malam itu.

“Baru-baru ini, anak saya mengatakan dirinya adalah budak perempuan paling hodoh. Katanya dia kelihatan seperti budak lelaki yang berambut panjang.

“Saya kemudian menunjukkan kepada anak saya foto penghibur legenda termasuk Michael Jackson, David Bowie, Janis Joplin, George Michael, Elton John dan Freddie Mercury. Saya katakan kepadanya dia sangat cantik dan saya sangat sayangkanya,” katanya.

Penyanyi rock dan pemenang Oscar, Jared Leto pula tampil memberi penghormatan kepada mendiang Chester Bennington dan Chris Cornell yang meninggal dunia, baru-baru ini.

“Suara mereka akan hidup sampai bila-bila. Dengarkan saya sekarang, kamu tidak bersendirian. Pasti ada jalan yang lebih baik untuk dipilih.

“Cari pendengar. Kongsikan apa yang kamu fikirkan. Jangan putus asa,” katanya.

Acara itu juga menjadi medan penting untuk memperkenalkan video terbaru apabila kali ini video Taylor Swift menerusi lagu Look What You Made Me Do benar-benar membuatkan ramai yang terpegun.

Lagu berkenaan dikhabarkan untuk ditujukan kepada penyanyi rap Kanye West. Ramai tahu dua penyanyi berkenaan tidak sehaluan dan pernah mengejutkan dunia dengan kontroversi pergaduhan tidak lama dulu.

Fifth Harmony yang baru kehilangan seorang anggotanya tahun lalu pula benar-benar tidak sangka memenangi kategori Video Pop Terbaik.

“Sejujurnya semua ini umpama mimpi. Terima kasih Tuhan dan peminat dan keluarga kami,” kata anggotanya Dinah.

Berhadapan masalah kesihatan yang teruk, Lorde pula memutuskan untuk menukar persembahannya menerusi lagu Homemade Dynamite kepada sekadar tarian tanpa menyanyi.

SENARAI PEMENANG VMAs 2017

• VIDEO TERBAIK : Kendrick Lamar - “HUMBLE.” (TDE/Aftermath/Interscope)

• LAGU MUSIM PANAS TERBAIK : Lil Uzi Vert - “XO Tour Llif3”

• ARTIS TERBAIK : Ed Sheeran (Atlantic Records)

• ARTIS BARU TERBAIK : Khalid (RCA Records)

• KOLABORASI TERBAIK : Zayn & Taylor Swift - “I Don’t Wanna Live Forever (Fifty Shades Darker)” (Republic Records)

• POP TERBAIK : Fifth Harmony ft. Gucci Mane - “Down” (Syco Music/Epic Records)

• HIP HOP TERBAIK : Kendrick Lamar - “HUMBLE.” (TDE/Aftermath/Interscope)

• TARIAN TERBAIK : Zedd and Alessia Cara - “Stay” (Interscope)

• ROCK TERBAIK : Twenty One Pilots - “Heavydirtysoul” (Fueled by Ramen/Atlantic Records)

• PERJUANGAN MENENTANG SISTEM TERBAIK : John Legend - “Surefire” (Immigration & Anti-Muslim hate) (Columbia Records)

• VIDEO SINEMATOGRAFI TERBAIK : Kendrick Lamar - “HUMBLE.” (TDE/Aftermath/Interscope) (Scott Cunningham)

• VIDEO PENGARAHAN TERBAIK : Kendrick Lamar - “HUMBLE.” (TDE/Aftermath/Interscope) (Dave Meyers & the little homies)

• PENGARAH SENI TERBAIK : Kendrick Lamar - “HUMBLE.” (TDE/Aftermath/Interscope) (Spencer Graves)

• KESAN VISUAL TERBAIK : Kendrick Lamar - “HUMBLE.” (TDE/Aftermath/Interscope) (Company: Timber/Lead: Jonah Hall)

• KOREOGRAFI TERBAIK : Kanye West - “Fade” (Def Jam) (Teyana Taylor, Guapo, Jae Blaze & Derek ‘Bentley’ Watkins)

• SUNTINGAN TERBAIK : Young Thug - “Wyclef Jean” (300 Entertainment/Atlantic Records) (Ryan Staake & Eric Degliomini)

• ANUGERAH MICHAEL JACKSON VIDEO VANGUARD: Pink

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 1:18 PM