MAHU cuba nasib sebagai penyanyi di China.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Bekas anggota kumpulan Votez, Meer Nash yang memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Chinese Bridge ke-16 di Changsha, China mengakui tiada masalah membuat pengucapan awam dalam bahasa Mandarin ketika mewakili Malaysia menyertai pertandingan itu, baru-baru ini kerana sudah menguasai bahasa itu sejak sekolah rendah.

Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul, 22, berkata, dia berpeluang mempertingkatkan penguasaan bahasa Mandarin apabila mengikuti kelas bahasa ketiga di universiti.

“Sebenarnya, selepas tamat belajar bahasa Mandarin di tingkatan tiga, saya terlupa banyak perkataan kerana jarang menggunakan bahasa itu,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam ini.

Meer tidak menafikan pertandingan selama sebulan itu sangat mencabar kerana perlu bersaing dengan 36 peserta lain dari negara Asia.

“Pertandingan ini memerlukan peserta membuat pengucapan awam dan persembahan seni selain menjawab soalan berkaitan China.

“Mujur saya masih ingat didikan guru sekolah rendah dan ditambah dengan tunjuk ajar daripada guru di pertandingan menguatkan lagi semangat untuk menyiapkan setiap tugasan.

“Tidak sangka saya dapat menewaskan peserta lain untuk memasuki Top 30 diikuti Top 15 dan seterusnya bertanding dengan empat peserta dari benua Amerika, Afrika, Australia dan Eropah di final,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Meer juga mempunyai perancangan untuk menyertai program realiti nyanyian di China.

“Pada segmen persembahan kesenian pertandingan itu, saya memilih untuk menyanyi lagu You Are My Eyes nyanyian Hsiao Huang Chi. Tak sangka persembahan saya diterima baik dan layak ke pusingan seterusnya.

“Menerusi pengalaman ini, saya mahu menyertai program realiti di China, mana tahu jika saya boleh melebarkan karier nyanyian ke sana,” katanya.

Kemenangan itu juga melayakkan Meer menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya di mana-mana universiti di China.

Menurut Meer, buat masa ini dia belum membuat sebarang perancangan kerana masih mempunyai dua tahun untuk menamatkan pengajiannya.

“Saya belum berfikir mahu belajar bidang apa di China selepas tamat pengajian di UiTM nanti.

Mungkin saya akan pilih bidang berkaitan dengan seni kerana minat menyanyi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 4:30 AM