IKA Nabila berkurung 2 minggu selepas keguguran.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Status isteri bukan penghalang untuk membawakan watak utama. Inilah rezeki yang diperoleh pelakon Ika Nabella menerusi drama 13 episod berjudul Melodi Cinta Sara yang akan disiarkan menerusi RTM.

Pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim, 28, yang pernah menyertai Akademi Fantasia 6 ini mengakui dirinya tidak popular di mata peminat.

“Tawaran ini diberikan penerbit dan pengarah yang pernah bekerjasama dengan saya. Mereka tahu cara kerja saya.

“Setiap kali berada di lokasi, saya akan fokus sepenuhnya,” katanya.

Ika yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam pada Julai 2016 mengakui bahagia dengan kehidupannya kini.

Bagaimanapun, rezeki untuk bergelar ibu belum kesampaian apabila dia mengalami keguguran ketika kandungan berusia sembilan minggu.

“Ketika itu saya tak tahu sedang hamil dan terbabit dengan penggambaran drama 30 episod, Seharum Mawar. Mungkin saya penat bekerja hingga mengalami keguguran.

“Mula-mula memang kecewa dan berkurung dalam rumah selama dua minggu. Saya anggap itu tempoh berpantang,” katanya.

Menurut Ika, dia enggan terus terbuai dengan kesedihan dan kini sudah dapat melalui rutin hidup seperti biasa.

“Kalau ada rezeki dalam masa terdekat, saya terima, tetapi jika sebaliknya kenalah redha.

“Mungkin Allah SWT mahu saya berbakti terhadap suami dan keluarga terlebih dahulu. Lagipun kami baru setahun berkahwin dan masih dalam fasa berbulan madu,” katanya.

Selari dengan perubahan statusnya, Ika kini semakin matang, lebih berkeyakinan dan sabar menghadapi apa sahaja perkara.

Aktif berniaga

Seperti selebriti lain, Ika juga aktif menceburi bidang perniagaan dengan mengeluarkan beberapa produk seperti selendang dan makanan.

Dia turut menzahirkan rasa syukur apabila terpilih untuk terbabit dalam Ekspo Antarabangsa OIC anjuran OIC International Business Centre yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18 hingga 21 September ini.

“Memang teruja kerana ini pembabitan pertama saya dalam karnival jualan antarabangsa. Rasa sangat berbesar hati dipilih oleh OIC International Business Centre untuk buka gerai secara percuma.

“Peluang ini tidak boleh dipersia-siakan. Kita tahu acara di PWTC selalunya berskala besar dan dapat sambutan hebat,” katanya.

Ika berkata, peluang itu diperoleh apabila dia menyertai persatuan artis Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) yang diketuai pelakon Anne Abdullah.

“Kebetulan saya menjayakan sebuah drama dengan Kak Anne dan dia tahu saya ada produk dan tawarkan masuk GTAS.

“Selepas itu, saya sering diberikan peluang berniaga dalam pelbagai acara dan karnival anjuran GTAS,” katanya.

Menyertai Ekspo Antarabangsa OIC yang diserta pelbagai negara luar bermakna Ika berpeluang mengembangkan perniagaannya ke luar negara.

Bagaimanapun, dia tetap berpuashati sekiranya produknya dikenali di negara sendiri terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 3:53 AM