PHOENIX tampil persembahan hebat.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Festival muzikal Good Vibes 2017 (GV2017) yang berlangsung 12 dan 13 Ogos lalu menarik lebih 13,000 hadir memeriahkan acara berkenaan.

Bertempat di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highland, ternyata sambutan masih luar biasa walaupun hujan pada dua hari berturut-turut itu.

Biarpun tapak acara bertukar jadi medan lumpur, ia tidak melunturkan semangat peminat untuk berhibur dengan artis kesayangan mereka.

Menjadi acara muzikal yang paling ditunggu setiap tahun, festival menghimpunkan pemuzik antarabangsa dan tempatan itu adalah edisi keempat tahun ini.

Paling menarik perhatian semestinya kehadiran nama besar termasuk Dua Lipa, Kodaline, Phoenix dan G-Eazy yang cukup dikenali di seluruh dunia.

Dua Lipa yang terkenal dengan lagu Scared To Be Lonely berjaya menghangatkan pentas dengan persembahan yang cukup menarik. Berkonsepkan minimal, penyanyi kelahiran United Kingdom (UK) itu mengagumkan penonton dengan vokal hebatnya.

Begitu juga penyanyi rap Amerika Syarikat, G-Eazy tampil dengan karisma tersendiri selain persembahannya yang bertenaga. Penyanyi itu jelas tahu menyeimbangkan elemen muzik dari rancak hingga perlahan.

Band Kodaline yang paling dinantikan juga tidak mengecewakan apabila beraksi pada hari kedua GV2017. Terkenal dengan karya yang sangat mendalam dan hebat, persembahan secara langsung mereka jelas mengagumkan.

Bijak berinteraksi dengan peminat, paling menarik perhatian semestinya kualiti persembahan yang ditonjolkan mereka. Menyanyikan lagu hit mereka, penonton paling teruja sewaktu lagu High Hopes dan All I Want dinyanyikan.

Tidak ketinggalan, Phoenix juga tidak kurang hebatnya daripada segi sambutan penonton. Band dari Perancis itu benar-benar ada aura tersendiri menakluk pentas dan bijak menarik perhatian penonton.

Meskipun nama band itu mungkin asing di telinga ramai, pengikut mereka yang hadir membuktikan Phoenix berada di legasi sendiri.

Menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan bakat tempatan, artis kita juga berjaya membanggakan negara dengan persembahan hebat mereka.

Antara yang membuat persembahan pada tahun ini termasuk NYK, Alextbh, Najwa Mahiaddin dan Talitha Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 3:21 AM