Azrel lakukan perubahan supaya tidak bosan. FOTO Instagram
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON Azrel Ismail, 33, tidak kisah dikecam dan dikritik hebat oleh pembaca novel dan peminat drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin yang kini mengisi slot Akasia di TV3.

Azrel yang memegang watak Sharul Nizam yang juga hero kedua drama itu

akui kebanyakan komen diterima daripada pembaca novel yang menonton drama ini marah kerana kerekter dilakonkan itu dianggap terlalu jahat.

Katanya, dia memilih untuk menjadikan watak itu lebih jahat berbanding apa yang digambarkan dalam novel yang ditulis Umi Syidah kerana watak asal agak mendatar.

"Sharul Nizam dalam drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin di TV3 terlalu antagonis berbanding kerekter asal dalam novel.

"Saya lakukan perubahan itu kerana melihat wataknya terlalu mendatar. Bagi saya dia kerekter lelaki biasa yang mungkin reda dengan takdir hidupnya," katanya.

Sebagai pelakon Azrel mahu menyuntik kelainan pada watak itu. Dia mengambil inisiatif berbincang dengan penerbit, Jelena Rejab untuk mewarnakan kerekter Sharul Nizam itu ke arah lebih antagonis berbanding di dalam novel.

"Pengarahnya, Nizam Zakaria juga kreatif untuk bersama dengan saya menjadikan karekter itu seorang lelaki psiko gara-gara mengejar semula cinta lalunya terhadap kakak ipar sendiri.

"Apabila karekter Sharul Nizam dibenci penonton, bermakna saya berjaya melakonkan watak itu dengan baik," katanya.

Disebabkan watak itu juga kata Azrel, dia pernah 'diingatkan' oleh peminat supaya jangan jahat sangat ketika menyertai siri jelajah program Bas Drama Sangat anjuran TV3 baru-baru ini.

Drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin diterbitkan produksi Country & Universal Sdn Bhd sebanyak 28 episod, disiarkan sejak 10 Julai lalu. Turut berlakon, Idris Khan, Raysha Rizrose, Zera Hariz, Aprena Manrose, Sheila Mambo dan Zulkifli Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 1:45 PM