HRITHIK sah bawa watak Anand dalam Super 30.

Beberapa minggu lalu, timbul desas-desus mengatakan Hrithik Roshan mungkin menolak tawaran untuk melakonkan watak pakar matematik, Anand Kumar yang berasal dari Bihar.

Pengarah Vikas Bahl dan penulis skrip, Sanjeev Dutta mengambil masa hampir dua tahun untuk membangunkan skrip filem berjudul Super 30 itu.

Difahamkan, Vikas sudah berbincang dengan Hrithik dan Akshay Kumar untuk membawa watak Anand.

Kini, Hrithik sah akan membawa watak Anand dalam filem itu. Sebagai persediaan untuk ‘menjadi’ Anand, Hrithik menjemput Vikas dan Anand ke kediamannya di Mumbai dan pakar matematik itu sangat terharu atas layanan mesra hero itu terhadapnya.

Anand dalam Facebook turut memuat naik status, “Baru balik dari Mumbai dan saya tak boleh lupa pertemuan dengan Hrithik Roshan. Dia bukan saja pelakon yang bagus, tetapi seorang yang sangat baik.”

Judul Super 30 itu diambil sempena nama pusat latihan yang diusahakan Anand di Patna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 3:26 AM