BABAK menarik dalam Langkau.

Teater kontemporari Langkau pernah dipentaskan di Studio Black≠box, Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada Mac 2016 dan menerima sambutan menggalakkan daripada penonton.

Ia dipentaskan semula pada 4 hingga 6 Ogos lalu di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dan sekali lagi mendapat sambutan meriah peminat.

Langkau yang menampilkan gabungan lima pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) iaitu Shahrul Mizad Ashari, Tengku Iefiz Alaudin, Fasyali Fadzly, Faillul Adam dan Murni Omar diterbitkan oleh Actor Studio dan Pentas Sila.

Persembahan kontemporari Langkau ini gabungan dua disiplin persembahan yang berbeza iaitu tari dan teater.

Langkau adalah hasil garapan dan cetusan idea Faillul Adam dan Murni Omar yang mendapat inspirasi mengenai persembahan ini ketika terbabit dalam sebuah program Step-Up anjuran Dance Ireland ketika melanjutkan pengajian sarjana di sana.

Pengalaman inilah yang mencetuskan buah fikiran untuk mereka berkongsi pengalaman, pandangan dan informasi kepada bidang seni persembahan Malaysia.

Menariknya Langkau julung kali membabitkan penyertaan pensyarah yang beraksi dan persembahan mereka ditonton pelajar serta penonton lain.

Faillul Adam adalah pensyarah tari, manakala Murni Omar dan Tengku Iefiz Alauddin pensyarah teater.

Ketiga-tiga mereka memperoleh biasiswa penuh daripada ASWARA untuk pengajian pascasiswazah di Eropah dan Kanada.

Sharul Mizad penggiat seni teater berpengalaman dan pernah memenangi beberapa anugerah iaitu Cameronian Awards Best Performance (Spilt Gravy On), Best Solo Performance Top 5 - Lembu dan Cameronian Awards Best Group Performance (Alang Rentak Seribu).

Tidak ketinggalan, Fasyali juga memperoleh biasiswa penuh daripada ASWARA untuk pengajian PascaSiswazah di Eropah dan Kanada.

Gabungan padu ini ternyata berjaya menyuntik pembaharuan terhadap teater kontemporari yang semakin lama semakin mengumpul kelompok peminat tersendiri.

Malah secara tidak langsung, penggiat seni tari tempatan dapat mempelajari tema dan kreasi baru dalam tarian.

Bercerita maksud Langkau, Fasyali berkata, ia satu langkah mencapai sesuatu dengan lebih cepat apabila mereka cuba meneroka aspek sosial fobia orang yang takut kepada khalayak ramai.

“Saya rasa peminat dapat memahami apa yang disampaikan. Tambah lagi latar belakang persembahan hanya menampilkan kawasan masyarakat pertengahan.

“Empat pelakon pula tampil dengan karakter berbeza. Penonton dapat melihatnya dengan gaya pemakaian yang bertukar,” katanya.

Teater ini tidak menampilkan skrip khas dan semuanya dipentaskan menggunakan kebijaksanaan empat pelakon ini.

Mereka hanya mengambil mana-mana isu menarik dan mengembangkannya. Ia lebih menjurus kepada tarian dan segala yang terjadi berdasarkan rujukan pelakon ini dalam bidang masing-masing.

Proses kerja silang disiplin (cross-discipline) yang dilakukan antara mereka bertujuan mencari satu pendekatan yang berbeza dalam persembahan kontemporari tempatan.

Sesuai dengan dinamika dan perkembangan persembahan di seluruh dunia, kerja kreatif silang disiplin sudah banyak diamalkan serta diterapkan untuk mencari pendekatan baru dalam penyampaian emosi serta fizikal.

Kedua-dua elemen ini sering dieksperimenkan oleh artis dan ahli akademik seluruh dunia.

“Kami cuba berkomunikasi dengan penonton menerusi cara yang baru. Kalau nak diikutkan teater ini sebenarnya agak mencabar tapi kami sahut untuk menampilkan sesuatu yang berbeza kepada masyarakat. Kami mahukan penonton berasakan impaknya,” kata Fasyali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 2:24 AM