Aman mahu mengembangkan bakat sebagai penyanyi.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON Aman Nasim, 28, menafikan sudah terlewat untuk mencuba nasib dan membina karier dalam bidang nyanyian.

Aman atau Abdul Rahman Nassim berkata, tiada istilah terlewat dalam kamus hidupnya untuk mengembangkan bakat seni sebagai penyanyi.

"Pada saya, asalkan ada peluang dan keinginan mencuba ia sudah memadai untuk menjadi pemangkin semangat supaya terus berusaha.

"Dalam soal ini, paling utama ialah berani dan sudah mencuba. Jika tidak berjaya, mungkin memang bukan rezeki saya," katanya.

Aman yang pernah membintangi drama Hidayahmu Ramadan di TV3 kini muncul dengan single ketiga, Tunjukkan Ku Bintang.

Single ciptaan dan lirik oleh Tukang Musik bersama Aman ini juga dipilih menjadi lagu tema drama Hero Seorang Cinderella.

Mengakui dia akur perlu bersaing dengan penyanyi remaja popular seperti Aiman Tino, Irfan Harris, Ismail Izzani, Haqiem Rusli dan Tajul Ariff, anak jati Johor ini tetap yakin pada rezeki.

"Bagi saya, setiap orang ada rezeki mereka yang sudah ditetapkan dan saya tidak gentar menghadapi saingan.

"Apatah lagi, bila single Tunjukkan Ku Bintang dipilih menjadi lagu tema drama Hero Seorang Cinderella, baru-baru ini. Pada saya, ia rezeki dan peluang yang baik," katanya.

Aman kini mengharapkan single Tunjukkan Ku Bintang mesra radio dan diterima baik pendengar muzik tanah air.

Terdahulu, Aman pernah muncul dengan dua single, Lafaz Setia pada 2014 dan Cinta Pura-Pura (2016).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 11:47 AM