AIDA Khalida.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Asam garam dan onak berduri menjalani kehidupan sebagai selebriti popular pernah dikecapinya suatu ketika dulu. Kini pada usia melewati 50-an, apa yang diinginkan pelakon Aida Khalida hanyalah ketenangan hidup.

Pernah dikenali sebagai Aida Rahim dan Aida Radzwill, anak seni kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, dunia glamor sudah berlalu buatnya.

Kini walaupun masih aktif berlakon, baginya semua itu kerana rezeki. Apatah lagi minat pada lakonan tidak pernah pudar.

Katanya, kini dia perlu lebih peka setiap kali mendapat tawaran kerana ada syarat yang perlu dipatuhi.

“Memang kini saya lebih peka untuk memastikan setiap babak dilakonkan batas pergaulan seperti sentuhan.

“Walaupun melakonkan watak ibu yang memiliki anak lelaki, saya akan pastikan tidak bersentuhan,” katanya.

Sejak aktif mendalami ilmu agama dan berhijab pada 2008, Aida atau Khalidah Adibah Ahmad akui dia kini makin tenang.

“Syukur, Tuhan memberikan saya nikmat kehidupan sangat baik dan tenang sekarang. Inilah impian saya. Tiada apa yang diinginkan dalam kehidupan ini melainkan memperoleh ketenangan daripada-Nya,” katanya.

Mengenai perkembangan karier pula, Aida berkata, sejak Ramadan lalu dia belum lagi menerima sebarang tawaran berlakon.

Katanya, kelapangan masa yang lebih banyak sekarang diisi dengan aktiviti amal termasuk menghadiri kelas agama.

“Pada saya, kalau ada tawaran berlakon akan dipertimbangkan. Jika tiada, saya anggap bukan rezeki.

“Apapun, sebelum memberi kata putus untuk menerima sesuatu tawaran berlakon saya biasanya teliti watak diberi lebih dulu,” katanya.

Menurut Aida, tahun lalu dia ditawarkan watak seorang isteri untuk satu filem genre patriotik. Jalan ceritanya sangat menarik, tetapi dia terpaksa menolak kerana tidak boleh mengelak untuk babak sentuhan.

“Mengikut skrip yang saya baca, suami akan alami kecederaan parah. Jadi, sebagai isteri, semestinya kami kena bersentuhan.

“Takkan sebagai isteri, saya hanya membiarkan saja suami yang tercedera tanpa memapah dia ke tempat lebih selamat.

“Jadi, selepas berfikir semasak-masaknya dan mengambil kira banyak perkara, saya buat keputusan menolak. Bagi saya itu bukan rezeki dan biarlah ia dilakonkan orang lain. Tuntutan watak isteri itu sangat berat,” katanya.

Aida berkata, suatu ketika dulu sering mencari dunia. Bangun saja daripada tidur, terus fikir mengenai dunia.

“Pada masa itu saya sentiasa risau. Sekarang, syukur semuanya sudah berubah kerana setiap kali bangun tidur, saya bersyukur.

“Ini kerana Tuhan masih sudi pinjamkan lagi umur kepada saya untuk membuat persiapan ke alam akhirat,” katanya.

Sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan, Aida pernah dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-11 (FFM11) menerusi filem Rimba Malam.

Aida pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik (Drama) buat Anugerah Skrin 1994 melalui telefilem Kerana Kau. Pada tahun sama, Aida juga meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) untuk Anugerah Seri Angkasa menerusi drama Tak Ingat.

Kata Aida, dia tidak mahu lagi mengenang apa yang dilaluinya duu dan kini lebih positif memandang arah tuju masa hadapan.

“Selagi nyawa dikandung badan, saya selesa dan tenang meneruskan kehidupan ini dengan cara sendiri. Itu pilihan saya,” katanya.

Memulakan kerja sebagai model dengan nama Aida Rahim pada 1980 sempena nama suaminya, kemudian pada 2003 dikenali sebagai Aida Radzwill selepas berkahwn dengan penyanyi Joe Radzwill. Sejak 2010, Aida mahu dikenali dengan nama sebenarnya, Aida Khalida.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 3:52 AM