NELYDIA Senrose.
Cik Pang

Pelbagai spekulasi ditimbulkan membabitkan pelakon jelita, Nelydia Senrose dan bekas suami Fasha Sandha sehingga mereka dikatakan serius bercinta.

Walaupun sebelum ini Nelydia sudah pun menafikannya, gosip terbabit terus hangat diperkatakan sehingga ada pula yang mendakwa mereka bakal bernikah.

Perkara itu sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang kepada Nelydia apatah lagi dakwaan dibuat itu tidak pernah berlaku.

Menurut teman Cik Pang yang bertemu dengan Nelydia baru-baru ini, pelakon itu sempat mengadu padanya dan menegaskan sangat kecewa apabila ada pihak tidak tahu hujung pangkal mengenai berita yang disebarkan.

Nelydia kesal kerana secara tidak langsung berita tidak benar itu membuatkan umum memberi telahan bukan-bukan sehingga menimbulkan reputasi buruk.

Kata teman Cik Pang yang mendengar luahan Nelydia, kebanyakan mereka membuat telahan kononnya dia kini menjalin hubungan dengan bekas suami Fasha juga ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli atau Jejai hanya berdasarkan kepada sekeping gambar.

Jelas pelakon itu, gambar itu kemungkinan diambil sewaktu dia keluar bersama rakan lain dan tidak berdua. Kebetulan rakannya juga kenalan Jejai.

Nelydia juga merayu supaya isu itu tidak dipanjangkan lagi dan dia tidak mahu lagi memberi kenyataan mengenainya.

Pada pandangan Cik Pang, betul juga tindakan Nelydia. Mengapa pula dia harus memberi kenyataan mengenainya sedangkan perkara itu tidak berlaku.

Apabila didesak untuk memberi kenyataan pun, jawapannya sudah tentu tidak kerana memang ia tidak pernah berlaku dan Nelydia tidak pernah ada apa-apa hubungan istimewa dengan Jejai.

Dalam waktu orang hangat berkata mengenai Nelydia dan Jejai, seorang lagi pelakon wanita yang kian mencipta nama, Nadia Brian turut dikatakan kini akrab dengan bekas suami Fasha.

Nampaknya Jejai sekarang menjadi duda paling hot kerana namanya sering dikaitkan dengan pelakon jelita. Bersabarlah ya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 3:44 AM