Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Buku nukilan Stephen King ini dianggap antara daya penarik kerana premis dan ideanya luar biasa tetapi adakah ia berjaya diterjemahkan ke layar filem?

Filem The Dark Tower mampu mencapai legasi sendiri. Sama seperti Lord of the Rings atau Harry Potter yang terlebih dulu mencipta legasi pada dekad ini.

Tarikan utama pastinya lakonan Idris Elba sebagai Roland Deschain, seorang Gunslinger terakhir. Aksi dan karakter ditawar menonjolkan kelebihan aktor itu di mata penonton.

Hal sama juga dilontarkan Matthew sebagai Walter O’Dim atau lebih dikenali dengan karakter Man In Black. Watak antagonisnya di tahap tersendiri. Dia ibarat sesumpah yang boleh menjadi sesiapa saja dalam apa saja genre filem.

Dari segi aksi, The Dark Tower mengembalikan aksi ‘kucing kejar tikus’ yang sering dipaparkan dalam filem koboi lama.

Terutama dengan karakter utama berpakaian koboi, membuatkan filem ini seolah tribut khas kepada kehebatan filem genre itu pada zaman lalu.

The Dark Tower cuba memberi nuansa pelbagai kepada semua lapisan penonton. Ia cuba menarik perhatian penonton berusia dengan gaya koboi, dewasa dengan aksi yang menakjubkan dan remaja melalui khayalan menjadi seorang hebat.

Apatah lagi dengan adanya watak Tom Taylor, kanak-kanak yang tercampak ke dunia The Dark Tower. Ia mengingatkan kita kepada jalan cerita hampir sama dalam Jumanji, Alice In Wonderland dan sebagainya.

Penggredan visual yang banyak bermain dengan warna gelap dan bayang menampakkan usaha pengarah untuk membawa filem ini ke arah yang lebih serius, biarpun elemen remaja tetap diselitkan.

The Dark Tower mengisahkan Roland Deschain yang terperangkap dalam peperangan tanpa penghujung dengan Walter O’Dim atau Man In Black.

Deschain atau Gunslinger perlu menghalang Man In Black daripada menguasai puncak The Dark Tower yang mempunyai kunci yang menyatukan dunia.

Kedua-duanyaperlu bertarung sehingga mati untuk tentukan siapa yang akan kuasai dunia, sama ada kuasa jahat atau baik.

INFO

FILEM: The Dark Tower

ARAHAN: Nikolaj Arcel

PELAKON: Idris Elba, Matthew McConaughey, Tom Taylor, Katherine Winnick

GENRE: Aksi sains fiksyen

TAYANGAN: 3 Ogos 2017

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 3:30 AM