MAJLIS Pelancaran Cerita-Cerita Didi & Friends dan Buku 3D AR Didi & Friends.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Animasi Cerita-Cerita Didi & Friends yang julung kali ditayangkan di pawagam TGV dan saluran Astro First pada Mac lalu menerima sambutan luar biasa.

Susulan itu, Astro Ceria dengan kerjasama DD Animation Studio Sdn Bhd (Digital Durian) memperkenalkan siri animasi popular kanak-kanak itu ke kaca televisyen mulai 14 Ogos ini.

Siaran Cerita-Cerita Didi & Friends itu juga bersempena musim cuti persekolahan yang bakal menjelang dan boleh disaksikan di saluran Astro Ceria pada setiap hari, jam 8 pagi serta 3 petang.

Kali ini, jumlah siaran ditambah kepada 39 episod berbanding 20 episod pada siri lalu.

Setiap siaran pula akan memaparkan tiga episod berdurasi tujuh minit bagi setiap satu.

Ia turut menggabungkan elemen nyanyian dan penceritaan yang disertakan nilai murni, semangat setia kawan dan pembelajaran santai.

Antara tajuk cerita pendek bakal dipaparkan dalam siri baru ini adalah Hari Sukan, Pulau Hokey Pokey, Nenek Si Bongkok Tiga, Berkawad Dengan Semut, Sesat Di Kota London, Jom Ke Dunia Teko, Kisah Oli Dan Bali, Pulau Buah dan Debunga.

Pengasas Digital Durian, Sinan Ismail berkata, durasi lebih panjang memberi peluang kepada penonton cilik mengenali watak kesayangan dengan lebih dekat.

“Dulu, animasi ini hanya dua minit dan kami tidak sabar mendengar maklum balas penonton terhadap siri baru.

“Terima kasih kepada peminat Didi & Friends di atas sokongan dan harap mereka akan terus terhibur menonton animasi ini,” katanya di Majlis Pelancaran Cerita-Cerita Didi & Friends dan Buku Cerita Bergambar 3D Augmented Reality (AR) Didi & Friends, baru-baru ini.

Selain itu, Sinan berkata buku cerita animasi berkenaan boleh didapati di pasaran manakala aplikasi AR Didi & Friends PlayBook boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan Apple App Store.

“Buku ini berkonsepkan bahan bacaan interaktif dengan slogan baca, belajar dan bermain. Kanak-kanak boleh belajar sambil bermain dengan aplikasi AR.

“Menariknya, buku ini turut dilengkapi sistem bunyi, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 12:55 PM