DARI kiri Seelan, AG, Ajak dan Guibo.
GAMBAR kenangan di Ombak Sunset.
AJAK bermanja dengan anak kambing.
Roslen Fadzil
roslen@mediaprima.com.my

Tidak cukup dengan Bali tahun lalu, ‘team’ pengurusan Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) kembali lagi bercuti ke Republik Indonesia bersama sekumpulan wakil media Malaysia pada Syawal lalu, bermula 14 hingga 16 Julai.

Kali ini Lombok pula menjadi lokasi pilihan dan rombongan berkenaan disertai Ketua Pegawai Eksekutif RRMP, Seelan Paul; Pengurus Besar Kumpulan RRMP, Anida Mohd Tahrim serta dua publisis mereka, Khairina Khiradin dan Radzatul Mazlyn Abd Rahim.

Lebih meriah, rombongan percutian itu membawa sekali tiga penyampai radio popular - AG Kool FM, Ajak Hot FM serta Guibo Fly FM. Seperti yang dijangkakan, dengan adanya mereka bertiga, maka riuh rendahlah program bertemakan #FlyHotKoolRayaLombok itu!

Menginap di Sheraton Senggigi Beach Resort, antara pengisian menarik sepanjang tiga hari dua malam di Pulau Seribu Masjid itu adalah sesi bersnorkeling di Gili Trawangan, ‘party’ barbeku di pantai, mengutip anak penyu yang baru menetas, membeli ‘ole-ole’ serta berbasikal mengelilingi pulau. Masing-masing jelas begitu terpegun dengan keindahan pantai, Puncak Rinjani serta muka bumi Lombok yang belum tercemar.

Seelan ketika ditemui berkata, program itu umpama acara tradisi RRMP setiap tahun bagi mengeratkan hubungan mereka dengan media Malaysia.

“Selepas penat bekerja, elok rasanya kita bersantai sambil mencari idea baru yang segar buat diri masing-masing. Untuk setiap destinasi percutian, kami membawa penyampai radio berbeza dan kali ini giliran AG, Ajak dan Guibo pula,” ujar Seelan.

Berkongsi perkembangan radio di bawah jagaannya, Seelan berkata, sesuai dengan peredaran semasa, RRMP sentiasa mengambil kira pengaruh besar media sosial dalam operasi mereka ketika ini.

“Kami menggabungkan dua format iaitu tradisional dan digital atau tradigital dalam beroperasi apabila semua penyampai perlu berkomunikasi dengan pendengar mereka di luar sana.

“Mereka bukan sekadar penyampai biasa sebaliknya perlu memikirkan kandungan video yang menarik untuk dimuat naik ke akaun sosial masing-masing bagi membantu kandungan penyiaran setiap hari.

“Ini menjadi lumrah kerana masyarakat juga ingin mengetahui perkembangan penyampai itu sendiri selain tugas mereka di konti,” kata Seelan yang berpuas hati dengan pemilihan pelawak terkenal seperti Ajak dan Shuk sebagai ahli keluarga baru RRMP.

Anida pula berkata, antara program terbitan mereka yang terus mendapat sambutan di Hot FM adalah Panggilan Hangit, Sketchah, Kelas Bahasa Inggeris Bersama Teacher Fati dan terbaru, Drama Lirik Hot bersama Ayda Jebat, Redza Rosli, Mira Filzah serta Hafidz Roshdi.

“Bagi Kool FM pula, segmen yang begitu popular termasuklah Dramatikool, Jangan Cerita dan Karoks Khamis sementara menerusi Fly FM, pendengar cukup suka dengan program Krappi Call serta Teka Bersama Guibo. Selain itu, kami juga baru melancarkan hab ‘podcast’ audio menarik, Ais Kacang untuk membincangkan pelbagai isu popular.

“Terima kasih kami ucapkan kepada semua pendengar yang terus setia bersama Fly, Hot dan Kool FM,” ujar Anida.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:02 AM