DAYANG antara yang membuat persembahan.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) akan menganjurkan konsert amal Tapestry of Colours 2017 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 29 Julai ini.

Konsert edisi keempat itu adalah anjuran bersama Yayasan UTP, Alumni UTP dan DFP bakal diadakan pada dua sesi iaitu jam 3 petang dan 8.30 malam.

Naib Canselor UTP Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim berkata konsert muzikal gala itu akan dijayakan lebih 200 pelajar UTP yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi.

“Ini adalah bukti pelajar jurusan berkenaan masih boleh menceburi bidang seni dan mengasah bakat mereka menjadi graduan yang kreatif dan inovatif.

“Konsert ini bertujuan mengumpul dana Yayasan UTP untuk biasiswa pelajar, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan sukan, kesenian dan kebudayaan,” katanya.

Yayasan UTP ditubuhkan pada 2007 dan ia memainkan peranan penting bagi me­ngumpul dana dan menyokong pembangunan UTP untuk menjadi sebuah institusi pendidikan cemerlang di dunia.

Tapestry of Colours 2017 akan mempersembahkan lagu dan tarian warisan budaya tempatan serta antarabangsa seperti gamelan, tarian tradisional Melayu, orkestra Cina, tarian Bhangra dan tarian tradisional antarabangsa di UTP.

Penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah, Daqmie dan Jyin Poh juga akan tampil membuat persembahan istimewa pada konsert itu nanti.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket boleh menghubungi DFP Box Office atau melayari www.mpo.com.my.

Harga tiket yang dijual bermula daripada RM106 hingga RM446.

Setiap pembelian tiket layak mendapat pengurangan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 9:09 AM