Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Bagi peminat siti TV Baywatch, pastinya sangat mengenali karya ini. Apatah lagi lakonan berkesan Pamela Anderson.

Pun begitu, untuk garapan di layar perak kali ini semestinya lakonan Dwayne Johnson menjadi perhatian. Johnson, bekas jaguh gusti dulunya terkenal dengan gelaran The Rock, dilihat amat sesuai melakonkan watak Mitch Buchannon yang bekerja sebagai anggota penyelamat pantai.

Susuk tubuh sasa dimiliki Johnson adalah pilihan tepat dibuat pengarah Seth Gordon untuk watak anggota penyelamat pantai itu.

Di sebalik jalan cerita kisah penuh aksi, elemen komedi juga disuntik dengan kemunculan Zac Efron sebagai Matt Brody. Bintang filem High School Musical itu juga nampak serasi berganding dengan Johnson dan aksi mereka menghiburkan.

Lebih menarik lagi untuk filem Baywatch ini ditonton, sudah pasti dengan adanya penampilan aktres Bollywood, Priyanka Chopra.

Daya tarikan Priyanka sebagai Victoria Leeds juga membawa impak yang berkesan dalam filem ini. Berperwatakan menawan, jelita dan seksi membuatkan lelaki pasti tergoda dengan Priyanka atau Victoria dengan mudah.

Padat dengan gabungan babak aksi dan lucu, filem ini tidak menghampakan untuk ditonton di pawagam.

Sinematografi untuk filem ini juga menarik dan lebih mantap apabila skripnya ditulis Michael Berk dan Douglas Schwartz yang memang sinonim dengan siri TV Baywatch.

Baywatch mengisahkan Buchannon, anggota penyelamat pantai yang begitu komited dengan kerjanya. Namun dia terpaksa bekerjasama dengan rakan setugasnya lebih muda, Brody yang keras kepala.

Mampukah Buchannon melayan kerenah Brody yang sambil lewa apabila mereka perlu bekerjasama untuk melindungi pantai mereka daripada kejadian tidak diingini?

Semua jawapannya ada dalam Baywatch dan siapakah sebenarnya Victoria yang menjadi perhatian lelaki?

INFO

• FILEM: Baywatch

• ARAHAN: Seth Gordon

• PELAKON: Dwayne Johnson, Zac Efron, Alexandra Daddario, Kelly Rohrbach, Ilfenesh Hadera, Jon Bass, Priyanka Chopra, Hannibal Buress

• GENRE: Aksi / komedi

• TAYANGAN: 1 Jun 2017

• ULASAN: Norhayati Nordin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:02 AM