CHER
CAMILA CABELLO
MILEY CYRUS
DRAKE
BTS
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Anugerah Muzik Billboard (BBMA) 2017 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat, kelmarin menyaksikan Drake menggondol 13 trofi termasuk Artis Terbaik, sekali gus memecahkan rekod Adele pada 2012.

Penyanyi rap dari Kanada itu menerima 22 pencalonan dan turut memenangi beberapa kategori utama antaranya Artis Lelaki Terbaik, Album Billboard 200 Terbaik, Artis Paling Laris dan Artis Rap Terbaik.

Anak sulung Michael Jackson, Prince menyampaikan trofi Artis Terbaik kepada Drake yang berjaya menewaskan sembilan pesaing hebat iaitu Beyonce, Justin Bieber, Rihanna, Adele, Ariana Grande, The Weeknd, Twenty One Pilots, Shawn Mendes dan The Chainsmokers.

Drake ketika menerima anugerah diiringi lebih 20 individu di pentas termasuk bapanya, penyanyi Lil Wayne dan Nicki Minaj.

Pada 2012, Adele mencatat rekod baru apabila memenangi jumlah anugerah paling banyak sepanjang penganjuran BBMA iaitu 12 trofi.

Turut menang besar pada malam kemuncak itu, Beyonce dan kumpulan Twenty One Pilots dengan masing-masing membawa pulang lima trofi.

Kali ini, giliran Beyonce menewaskan Adele untuk Album R&B Terbaik selepas penyanyi British itu memenangi kategori sama di Anugerah Grammy 2017 pada Februari lalu.

Kumpulan duo elektronik terkenal The Chainsmokers hanya memenangi empat kategori daripada 23 pencalonan menerusi lagu hit berjudul Closer kolaborasi bersama penyanyi Halsey.

Lagu itu melayakkan The Chainsmokers memenangi kategori Lagu Hot 100 Terbaik, Kolaborasi Terbaik dan Lagu Dance/Elektronik Terbaik, sekali gus memegang gelaran Artis Dance/ Elektronik Terbaik.

Malangnya, penyanyi kegilaan ramai wanita, Justin Bieber terpaksa pulang dengan tangan kosong walaupun menerima tujuh pencalonan termasuk bagi kategori utama Artis Lelaki Terbaik, Artis Terbaik dan Artis Terbaik Radio.

BTS tewaskan Bieber dan Gomez

Sokongan padu peminat di seluruh dunia melayakkan kumpulan K-Pop terkenal, BTS dinobatkan Artis Sosial Terbaik dan mereka berjaya menewaskan bintang hebat Justin Bieber serta Selena Gomes yang turut mempunyai ramai pengikut tegar.

Kumpulan itu diiringi jeritan ribuan peminat ketika naik ke pentas menerima trofi yang disampaikan wakil ION360.

Dalam ucapan ringkas, ketua BTS, Rap Monster menganggap anugerah itu milik peminat setia kumpulan berkenaan di atas sokongan mereka selama ini.

“Kami masih sukar mempercayai berada di pentas Anugerah Muzik Billboard. Paling penting, anugerah ini adalah milik setiap individu di seluruh dunia kerana menyokong kami dan membuatkan BTS bangga,” katanya.

Miley Cyrus emosi

Selain penyampaian anugerah, malam kemuncak BBMA turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis antaranya Nicki Minaj, Celine Dion, Cher, Bruno Mars, Lorde dan Camila Cabello.

Cher yang memenangi Anugerah Ikon pada malam itu menghiburkan penonton dengan lagu hit Believe dan If I Could Turn Back Time.

“Saya menceburi bidang diminati sejak berusia empat tahun dan kini sudah 53 tahun saya berada dalam industri muzik,” katanya.

Menyambut ulang tahun ke-71 tahun pada Sabtu lalu, Cher menyifatkan pencapaian hebatnya sebagai penyanyi disebabkan tuah.

Penyanyi dan pelakon Miley Cyrus menamatkan persembahan lagu barunya berjudul Malibu dengan penuh emosi.

Adik perempuan Cyrus, Noah ketika mengumumkan persembahan kakaknya memberitahu penonton, penyanyi terbabit membuat persembahan tanpa berpakaian mencolok mata.

“Selepas beberapa tahun, ini kali pertama kakak saya Miley Cyrus membuat persembahan dengan berpakaian lengkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 5:14 AM