Yuka bersama suami Jeffny ceria dengan kelahiran Avisenna. FOTO INSTAGRAM
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Yuka Kharisma, 30, semalam menerusi akaun Instagramnya berkongsi gambar pertama bayi lelakinya yang dilahirkan pada 3 Mei lalu.

“Alhamdulillah, saya dan bayi dalam keadaan sihat. Bayi ini dinamakan Ahmad Avisenna, dan dilahirkan secara normal dengan berat 2.9 kilogram.

“Bukan tidak mahu berkongsi mengenai kelahirannya pada 3 Mei lalu, tetapi saya belum sempat memegang telefon kerana terlalu teruja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Yuka, dia akan berpantang selama 44 hari di kediaman mentuanya di Ampang.

“Selain dijaga ibu mentua, ibu saya dari Indonesia juga turut berada di sini sejak saya hamil,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan nama Ahmad Avisenna, Yuka memaklumkan ia menjadi pilihan ketika bayinya masih dalam kandungan.

“Avisenna sempena nama tokoh perubatan dan ilmuan Islam, Ibnu Sina.

“Dulu saya sering sakit dan ketika hamil, sakit itu hilang. Saya anggap kehamilan saya sebagai penyembuh sakit,” katanya.

Avisenna adalah cahaya mata pertama hasil perkahwinan Yuka dengan suaminya, Ahmad Jeffny Kamar, 32.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 6:49 PM