PENGUNJUNG mendapatkan maklumat pada pameran hartanah MyRumah 2019 di Komtar JBCC. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


PAMERAN MyRumah 2019 anjuran kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, Johor Bahru mencapai matlamatnya menerusi kehadiran pengunjung yang menggalakkan.

Siri ketiga pameran hartanah MyRumah di Komtar JBCC itu berlangsung sejak kelmarin bermula 10 pagi hingga 10 malam disertai lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia juga turut disertai MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Sambutan turut menunjukkan warga sekitar bandar raya bijak memanfaatkan peluang mendapatkan maklumat diperlukan menerusi program ceramah disampaikan pakar hartanah.

Pameran MyRumah kali ini menawarkan nilai rumah antara RM300,000 hingga RM500,000.

Sesi ceramah yang berkesan dari pakar hartanah adalah keistimewaan pada pameran MyRumah pada kali ini, berikutan tips bernas berkaitan pembelian rumah.

Ia hanya boleh diperolehi sepanjang tiga hari program MyRumah 2019 yang menyasarkan golongan pembeli rumah kali pertama dan pembeli yang ingin melabur dalam hartanah di negeri ini.

MyRumah 2019 di Johor menawarkan lebih 3,397 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Terdahulu, siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Ipoh dan Shah Alam, Selangor dengan pengunjung yang membeli rumah sepanjang MyRumah berpeluang memenangi sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:20 PM