YASMIN (berbaju biru) bermesra dengan kanak-kanak.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SERAMAI 460 kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia diraikan dalam program AEON Mesra untuk berbelanja sempena ketibaan Hari Krismas.

Program ini berlangsung pada 5 Disember lalu di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur manakala 7 dan 14 Disember di sembilan cawangan AEON serta AEON Big di seluruh negara.

Kanak-kanak ini berpeluang membeli-belah hadiah dan pakaian baharu dengan peruntukan RM200 di lima cawangan AEON seperti Taman Maluri, Tebrau City, Ipoh, Bukit Mertajam dan Kuching manakala RM150 pula di cawangan AEON Big Midvalley, Ampang, Subang Jaya, Seberang Prai dan Sutera Utama.

Program membeli-belah ini antara satu inisiatif dilakukan Yayasan AEON Malaysia (MAF) untuk berkongsi kegembiraan bersama kanak-kanak tidak bernasib baik.

Presiden MAF, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata program AEON Mesra diperkenalkan sejak 2004 untuk bersama-sama meraikan kemeriahan festival perayaan di Malaysia bersama insan istimewa.

“Sempena kedatangan Krismas, kami meneruskan program membeli-belah di kompleks AEON bersama anak kurang bernasib baik.

“Berbelanja bersama kanak-kanak setiap tahun sempena perayaan menjadi acara istimewa apabila lebih 2,000 kanak-kanak pelbagai latar belakang dijemput ke kompleks beli-belah AEON untuk berbelanja setiap tahun.

“Memegang falsafah ‘People, Peace, Community,’ kami turut fokus terhadap pencemaran alam, program kemasyarakatan dan mempromosi program kesihatan,” katanya.

Di AEON Taman Maluri, 120 kanak-kanak dari tiga rumah kebajikan, Lighthouse Children Welfare Home Association, Rumah Ozanam dan Rumah Charis bukan saja berpeluang membeli-belah bahkan berseronok di pusat hiburan dalaman AEON, Molly Fantasy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:07 AM