Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


JIKA minggu lalu Nuansa membicarakan berkenaan sejarah Kampung Pandan atau kini dikenali sebagai Desa Pandan, kali ini kisah Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pula dirungkaikan.

Berbanding Desa Pandan, di Kampung Datuk Keramat masih terdapat rumah kayu, deretan rumah teres era 1970-an dan tidak ketinggalan Pasar Kampung Datuk Keramat yang mempunyai ceritanya tersendiri.

Bertemu Abdul Rahman Othman, 71, Siti Hazira Hadis, 58, dan beberapa penduduk setempat yang sudah sebati dengan Kampung Datuk Keramat memberi peluang kepada penulis mendengar kisah mereka.

Abdul Rahman berkata, dia berhijrah dari Kampung Baru ke Kampung Datuk Keramat pada Februari 1957 ketika berusia sembilan tahun, sekali gus menyaksikan sendiri pelbagai kisah pembangunan di tempat itu.

PINTU gerbang meraikan kedatangan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn pada 1977.

Katanya, kawasan itu dikenali sebagai Tangga Cina sebelum diberikan nama Kampung Datuk Keramat. Bagaimanapun, dari segi tahun peralihan nama itu tidak dapat dijelaskan secara tepat dan mungkin selepas kemerdekaan negara.

“Ketika saya berhijrah di sini pada 1950-an, Tangga Cina adalah sebuah perkampungan yang agak tersusun dengan adanya rumah Lembaga Kemajuan dan Perusahaan Kampung Rida.

“Di sini, selepas merdeka Kampung Datuk Keramat adalah kawasan yang menjadi tumpuan kerana banyak bangunan kerajaan di sekelilingnya termasuk kem tentera. Jadi, ia terus menjadi tumpuan sehingga hari ini,” katanya.

Bagi Siti Hazira yang dibesarkan di Lorong Kiri 12, Kampung Datuk Keramat menceritakan ketika zaman kanak-kanaknya laluan di kawasan itu masih tidak bertar dan berdebu.

PASAR Datuk Keramat yang mempunyai nilai sentimental kepada masyarakat di Kuala Lumpur.

“Walaupun Kampung Datuk Keramat terletak dalam bandar, suasananya masih seperti di kawasan kampung kerana di sini masih ada rumah kayu yang dikekalkan sehingga ke hari ini.

“Saya juga masih ingat, kampung ini juga menjadi tumpuan ramai pelajar universiti untuk menyewa kerana kedudukannya yang dekat dan strategik,” katanya yang turut menceritakan lokasi berkenaan juga terkenal dengan terdapatnya lombong besar yang kini sudah tiada.

Ketika berada di kawasan itu, penulis juga sempat menemu bual pemilik kediaman yang masih mengekalkan elemen kediaman tradisional meskipun kebanyakan rumah di barisannya sudah diubah suai.

Kediaman itu dihuni tiga beradik iaitu Wan Aishah Wan Yusoff, 64, Wan Zakiah Wan Yusoff, 62, dan Wan Zainun Wan Yusoff, 58.

KEMERIAHAN Kampung Datuk Keramat yang aktif dengan pelbagai aktiviti sukan.

“Sayang rasanya untuk mengubah suai menjadi terlalu moden kerana di sini tempat kami membesar dan bermain ketika kanak-kanak. Saya masih ingat, ayah yang mengusahakan batik menggunakan air sungai depan rumah untuk membasuh hasil seninya. Ketika itu, air sungai sangat jernih,” kata Wan Zakiah.

Jika ke Kampung Datuk Keramat, Pasar Datuk Keramat antara yang amat popular. Kali ini penulis sempat menemu bual seorang peniaga di sana, Daruis Majid, 60.

Katanya, Pasar Datuk Keramat sebelum siap dibangunkan pada 1976, peniaganya berniaga di kawasan sekitar antaranya di kawasan yang ketika menjadi Hentian Transit Aliran Ringan (LRT) Dato’ Keramat. Tapak pasar yang dibangunkan itu juga adalah bekas lombong.

“Pasar ini dirasmikan pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn. Di sini, boleh dikatakan semua Perdana Menteri Malaysia sering berkunjung termasuk Perdana Menteri sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

LOKASI popular dalam kalangan pelajar universiti untuk sewa rumah satuketika dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:18 AM