Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


BAGI warga kota, nama Kampung Pandan atau kini dikenali sebagai Desa Pandan bukan sesuatu yang asing kerana kedua-duanya antara entiti yang menyaksikan era pembangunan di Kuala Lumpur.

Teori penulis, warganya kini mungkin sudah memasuki generasi keempat. Ini kerana pada ketika ini, generasi kedua sudah melepasi usia melebihi 60 tahun.

Sebenarnya agak sukar untuk mendapatkan fakta sebenar mengenai kampung berkenaan apabila pihak berkuasa memaklumkan kepada penulis, mereka tidak mempunyai data dari segi sejarah, keluasan tanah dan populasi penduduknya yang tepat.

Mujur sumber daripada generasi kedua di kedua-dua perkampungan Melayu itu masih ada untuk menceritakan kisah nostalgianya.

Lebih menarik, foto vintaj milik peribadi masih dalam simpanan sebagai bukti generasi itu turut menyusuri perubahan zaman di Desa Pandan.

FOTO lama Masjid Ar Rahimah sebelum dinaik taraf.

Kampung Pandan, kini Desa Pandan “Saya mula berhijrah dari Melaka ke Kampung Pandan pada 1974 kerana mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Ketika itu, Kampung Pandan adalah kawasan setinggan.

“Malah, saya masih ingat ketika melalui kehidupan tanpa elektrik dan berkongsi paip air yang perlu digunakan mengikut jadual. Setiap rumah hanya diberikan sejam untuk mengambil air daripada paip utama,” kata Pengerusi Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Mohd Shah Hashim.

Meskipun bukan menjadi ‘peneroka’ Kampung Pandan, beliau boleh dikatakan melalui tiga era penting lokasi itu yang bermula sebagai setinggan, proses pembangunan dan kini, menjadi antara tanah bernilai tinggi di ibu negara.

Merasai sekitar lima tahun sebagai orang setinggan, kisah berkongsi paip air bukan satu-satunya nostalgia dilaluinya. Malah, Kampung Pandan juga adalah destinasi anak muda di seluruh negara berhijrah mencari rezeki di Kuala Lumpur ketika itu.

DERETAN kedai di Kampung Pandan yang masih wujud sehingga kini.

Katanya, lokasi strategik Kampung Pandan yang begitu hampir dengan pusat bandar menjadikannya tumpuan ramai untuk berhijrah meskipun perlu melalui pengalaman sebagai orang setinggan.

“Kami pada ketika itu, datang dari pelbagai negeri. Bagaimanapun, hidup berjiran begitu baik. Kalau majlis perkahwinan cukup meriah kerana saling bergotong-royong membantu antara satu sama lain.

“Selain itu, kalau ada yang mengirim surat, kita di sini tidak ada nombor rumah, pekerja pos akan menghantar di kedai di hujung lorong. Jadi kalau ada surat, orang kedai akan maklum kerana kita kenal antara satu sama lain,” katanya.

Jika anda berkunjung ke Desa Pandan, pasti kelihatan pangsapuri empat tingkat berwarna kuning berjalur coklat. Sebenarnya, pada era 1980, Pangsapuri Desa Pandan adalah antara peneraju pangsapuri moden di Kuala Lumpur.

Mempunyai 45 blok keseluruhannya, pangsapuri itu dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air. Setiap seunit berkeluasan, 720 kaki persegi.

MOHD Shah.

Blok pertamanya, yang siap dibina pada 1988 masih kukuh dan turut diletakkan tahun siap dibina yang boleh dilihat sehingga sekarang.

Mohd Shah berkata, proses pembangunan Kampung Pandan bermula pada pertengahan 1980 dan kediaman setinggan dirobohkan secara berperingkat. Lebih manis, beliau juga adalah antara individu yang membuat bancian kediaman setinggan di kawasan itu.

Ketika ditanya elemen Kampung Pandan yang masih kekal sehingga hari ini, jelasnya, hanya tinggal satu ‘jalan’ saja yang tidak diubah iaitu Lorong Belakang Masjid yang diberikan nama oleh penduduk tempatan secara tidak rasmi.

“Generasi awal yang berada di sini menceritakan kepada saya ia dikenali sebagai Kampung Najis kerana menjadi lokasi pembuangan bahan kumbahan itu.

“Ketika saya berhijrah memang ada lubang yang menjadi saluran pembuangannya. Bagaimanapun, namanya berubah selepas terdapat banyak pokok pandan di sini dan diberikan nama Kampung Pandan. Tarikhnya tidak pasti. Bagaimanapun, nama Desa Pandan diberikan pada 1985,” katanya yang kini berusia 66 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 9:03 AM
MASJID Ar-Rahimah ketika ini.