CHENG bersama plak kemenangan dan lukisannya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


MENGGUNAKAN peralatan seni yang dihasilkan sendiri seperti kanvas daripada pulpa pokok mulberi, pelukis ini berusaha menyampaikan mesej kerja keras dan perjuangan di tanah air.

Akar lalang disusun dalam garis sempadan peta Malaysia, manakala garis daripada benang kapas menggambarkan kegigihan seseorang yang sedang berjuang mengukuhkan lagi mesej cuba disampaikan pelukis, Cheng Yen Pheng, mengenai kisah Malaysia yang berjuang untuk masa depan lebih baik.

Karya seni media campuran berjudul ‘Tug of War: My Homeland’ adalah tindak balas peribadi pemerhatian pelukis berusia 37 tahun itu terhadap rakyat Malaysia dan usaha mereka untuk menuntut perubahan di negara ini.


“Perjuangan adalah sebahagian daripada proses ke arah perubahan. Saya yakin rakyat Malaysia akan mencapai kejayaan besar dan keharmonian apabila mereka melalui proses sukar, tetapi perlu dilakukan ini.

“Dalam karya seni ini, saya berhasrat menunjukkan bagaimana perjuangan akan wujud apabila kita cuba mendapat keseimbangan yang betul antara perbincangan dan keputusan demi mencapai perubahan positif untuk negara pada akhirnya,” katanya.

Karya Cheng itu mengungguli anugerah 2019 UOB Painting of the Year Malaysia anjuran United Overseas Bank Bhd (UOB) Malaysia yang diumumkan baru-baru ini. Selain menerima hadiah wang tunai RM100,000, lukisan Cheng turut akan bersaing dengan pemenang dari Indonesia, Singapura dan Thailand bagi merebut kejuaraan anugerah sama peringkat Asia Tenggara.


NURUL ASIKIN bersama lukisan diilhamkan daripada warisan Orang Asli.

Tujuh lagi karya turut dinobat memenangi pelbagai anugerah lain membabitkan kategori pelukis mapan dan pelukis baru. Semua karya berkenaan dipamerkan di Galeri Painting of the Year UOB Malaysia di Bangsar, Kuala Lumpur sehingga 15 November ini.

Bagi anugerah Pelukis Harapan, ia dimenangi Nurul Asikin Roslan, 31, yang mempertaruhkan karyanya berjudul Bunga Moyang. Karya seni ini adalah origami rumit yang dibuat daripada daun pandan dan daun palma serta diilhamkan daripada kaum Orang Asli suku Mah Meri.

Suku Mah Meri biasanya memaparkan pelbagai daun palma semasa peristiwa penting seperti majlis perkahwinan dan pengebumian sebagai tanda penghormatan kepada nenek moyang mereka. Dalam karya seninya, pelukis ini menonjolkan budaya dan adat istiadat Orang Asli di Malaysia.


Menerusi lukisan itu, Nurul Asikin ingin menggalakkan peminat seni untuk mengingati dan menghormati semua budaya Malaysia termasuk yang tidak diketahui ramai tetapi masih sebahagian daripada asas Malaysia yang merangkumi pelbagai kepercayaan dan budaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, anugerah itu membantu menarik bakat baharu sambil mempromosikan karya seni serta pelukis Malaysia di seluruh rantau ini.

“Penganjuran yang memasuki tahun ke-9 ini terus berkembang dengan lebih mantap. Pada tahun ini, kami menerima penyertaan paling tinggi daripada pelukis baharu dan lama dari seluruh negara.

“Ini adalah bukti kejayaan dan reputasi anugerah ini sebagai satu pertandingan seni yang diiktiraf di rantau ini. Kami akan terus memperkenalkan karya seni Malaysia dan juga pelukis tempatan ke pentas dunia,” katanya.


ANTARA lukisan terpilih kategori mapan dan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:53 AM