MURID sekolah memberus gigi beramai-ramai dalam usaha cipta rekod.
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


Seramai 3,245 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yak Chee di Puchong, Selangor mencipta rekod Buku Rekod Malaysia (MBOR) apabila mengambil bahagian dalam acara memberus gigi terbesar di Malaysia, sekali gus memadamkan rekod terdahulu yang dipegang 2,098 pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Klang, baru-baru ini.

Acara bersejarah itu sebahagian daripada sambutan Hari Masa Depan Bebas Kaviti 2019 (WCFFD 2019) anjuran Colgate-Palmolive dengan kerjasama Persatuan Masa Depan Bebas Kaviti (ACFF) bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai masalah karies gigi dan kaviti di negara ini.

Karies gigi merujuk kepada penghakisan enamel gigi yang berlaku akibat daripada penghasilan asid yang tinggi dalam mulut. Penghasilan asid ini berlaku apabila bakteria dalam mulut mencernakan karbohidrat atau gula dalam makanan.

Keadaan mulut berasid tinggi dalam jangka panjang akan terus menghakis gigi sehingga terbentuk lubang (kaviti). Kaviti ini kemudian mampu untuk membesar sehingga mendedahkan lapisan pulpa yang kaya dengan saraf dan salur darah. Ini mendorong kepada rasa sakit yang teruk dan juga masalah lain.


SIJIL MBOR mencatat paling ramai murid sekolah memberus gigi disampaikan Jwan (kanan).

Kanak-kanak pula kumpulan populasi yang paling berisiko untuk menghidap karies gigi yang teruk. Berdasarkan statistik, tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menghidap karies gigi. Tambahan lagi, kajian mendapati 76 peratus daripada semua kanak-kanak di bawah usia lima tahun mempunyai lapan daripada 10 gigi susu mereka terjejas dengan karies.

Sijil rekod MBOR disampaikan Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah kepada Guru Besar SJKC Yak Chee, Chin Ah Soon. Majlis disaksikan Pengerusi ACFF Malaysia, Profesor Dr Rahimah Abdul Kadir, Timbalan Presiden dan Pengurus Pemasaran Colgate-Palmolive Corrado Giaquinto dan Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive, Amanda Klemm.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sukan, Kokurikular dan Divisyen Seni, Kementerian Pendidikan, Razuki A Rahim dan Ketua Pembantu Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Pendidikan Negeri Selangor, Khairul Anuar Awang serta duta senyuman, Alyssa Dezek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:21 AM