Oleh Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Sejak sebelum senja lagi hujan mencurah-curah membasahi ‘perut’ ibu kota, namun tatkala waktu berbaki 10 minit untuk menginjak 9 malam, ia tiba-tiba berhenti.

Perubahan cuaca mendadak pada Selasa lalu itu seakan-akan memberi tanda sekumpulan anak muda ini bersedia menongkah lembaran baharu yang lebih positif dalam kehidupan mereka.

Di satu sudut di Pusat Transit Gelandangan Medan Tuanku, kumpulan anak muda terbabit bersama-sama belasan sukarelawan terdiri daripada penuntut universiti dan pelbagai pertubuhan, sibuk mengisi makanan untuk diberikan kepada gelandangan yang mula membanjiri tempat itu.

Mereka juga bukan orang senang, malah terdiri daripada anak golongan asnaf di seluruh Selangor. Namun di raut wajah masing-masing tampak semacam keinsafan dan sedikit kesalan.

Mana tidaknya, kebanyakan daripada mereka sebelum ini lalai dan alpa dalam kehidupan tanpa mahu berbuat sesuatu untuk membantu keluarga keluar daripada kepompong kesusahan.

“Datang ke sini betul-betul menginsafkan saya. Melihat ramai lagi orang susah yang memerlukan bantuan dan bersusah payah datang ke sini untuk mengalas perut sehingga sanggup meredah hujan.


SESI nasihat oleh pelakon, Asyraf Muslim selepas pelatih PLKBAS membantu menyedia dan mengedarkan makanan kepada golongan asnaf di Pusat Transit Gelandangan Medan Tuanku di ibu kota.

“Rata-rata mereka tiada tempat tinggal, hanya tidur berlantaikan kaki lima sedangkan saya masih ada ibu bapa dan rumah untuk berlindung, pakaian pun boleh beli yang cantik,” luah Norfarah Sakinna Zainal Abidin, 19, dari Kampung Teluk Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Gadis ini seorang daripada 11 pelatih yang mengikuti Program Latih dan Kerja Belia Asnaf Selangor (PLKBAS) anjuran Lembaga Zakat Selangor dan dikendalikan Skills Johor iaitu sebuah institusi

yang

bergiat aktif menjalankan program khusus untuk pembangunan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Menurut Norfarah Sakinna, dia sebelum ini banyak menyusahkan keluarga dan tidak mahu mendengar cakap orang tuanya.

“Sebelum ini kalau mak tegur sikit saya melenting dan naik angin tapi apabila ikut program ini, saya dapat kesedaran. Antara diajar sepanjang program ini adalah mereka yang tidak berjaya banyak menyalahkan orang lain, terasa kena sangat atas batang hidung sendiri.

“Memang saya rasa berdosa sangat dengan kelakuan sendiri. Sejak habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya tak pernah kerja, cuma tolong mama kat rumah dan bila papa yang bekerja sebagai nelayan pulang dari laut, saya tolong basuh botnya.

“Sebagai peserta PLKBAS, saya diajar banyak hal antaranya cara menguruskan perbelanjaan, di mana dan bagaimana nak bermula serta diberikan motivasi untuk mengubah tabiat daripada negatif kepada positif.


BELIA asnaf yang mengikuti program PLKBAS diberikan motivasi.

“Paling menarik bila dapat tahu pada akhir kursus nanti ada beberapa syarikat datang untuk menemu duga kami. Saya rasa tak sabar nak bekerja untuk membantu papa dan mama serta adik-beradik,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Bagi Muhammad Norizwan Norizan pula, program itu disifatkannya penyelamat kala dia mengalami kemurungan dan diselubungi sikap malas melampau lantaran pernah ditipu dalam perniagaan sebelum ini.

Jejaka berusia 23 tahun itu berkata, walaupun hanya beberapa hari menyertai program berkenaan, dia dapat berasakan perubahan ketara pada dirinya, daripada seorang yang leka dan malas kepada lebih bertanggungjawab dan bersemangat.

“Memang saya sebelum ini bersikap sambil lewa, jarang solat, bangun lambat sebab suka sangat main ‘game’ (permainan telefon) dan tiada semangat untuk bekerja atau bantu keluarga. Saya jadi begitu sebab pernah ditipu majikan yang tak bayar OT (kerja lebih masa) dan SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Selepas itu saya berniaga dengan seorang rakan kongsi menyediakan perkhidmatan membaiki ‘aircond’ (pendingin hawa) dari rumah ke rumah tapi malangnya ditipu pula rakan kongsi. Habis semua barang dia ambil.

“Keadaan itu membuatkan saya jadi malas dan lemah semangat sampailah mak suruh masuk program ini. Saya masuk pun awalnya separuh hati saja tapi sebaik menyertainya, timbul kesedaran dan keinsafan untuk memperbaiki serta memperbetulkan kesilapan.

“Selepas ini saya bercadang bekerja dahulu dengan mana-mana majikan dirasakan sesuai yang akan menemu duga kami. Selepas itu saya berhajat untuk kumpul modal dan berniaga semula dalam bidang baiki ‘aircond’ sebab saya memang minat berniaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor, Zakbah Harun menjelaskan, program berkenaan berlangsung selama tujuh hari yang padat dengan pelbagai pengisian untuk membimbing belia asnaf di Selangor yang menganggur untuk menyusun kehidupan supaya lebih baik berbanding sebelumnya sekali gus membantu keluarga masing-masing keluar dari kemiskinan.

“Ini siri ketujuh dan secara keseluruhannya

kami sudah melatih 130 belia asnaf di Selangor. Program di pusat gelandangan ini sebahagian daripada pengisian untuk kursus dijalankan ini. Kami nak belia asnaf ini sedar ada orang lebih susah dan menghayati erti kesyukuran.

“Mereka juga diajar kemahiran insaniah ‘soft skill,’ diberi motivasi, malah nak beli barangan contohnya telefon juga kami ajar cara yang betul. Selain itu mereka didedahkan dalam bidang pekerjaan yang mana untuk siri ketujuh ini bidang peruncitan,” katanya yang menambah objektif program PLKBAS ialah untuk membuka minda pelatih terbabit.


SEMUA peserta PLKBAS siri ketujuh bersama sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 11:03 AM