Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


MENDUDUKI tangga kelima dalam senarai 10 negara paling berbahaya di dunia untuk dikunjungi berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) pada 2018, tidak mampu mengurangkan keterujaan lapan petugas kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) menjalankan amanah di Somalia, Mac lalu.

Pegawai Kanan Bahagian Partner Care, Nas Aqilah Ismail berkongsi rasa dia sebenarnya gusar dan takut untuk ke negara yang terkenal dengan jolokan ‘Mutiara Putih di Lautan Hindi’ itu.

“Walaupun takut dan bimbang untuk ke Somalia, terselit juga keterujaan sebagai pekerja kemanusiaan untuk menyaksikan realiti kehidupan masyarakat tempatan dengan mata sendiri.

“Saya sememangnya berhasrat untuk berkongsi pengalaman berharga mengenai penderitaan hidup dialami penduduk Somalia sejak empat dekad lalu sebaik kembali ke tanah air.


MUHAMMAD Haris bersama pelajar yang juga anak pelarian di Sekolah Al-Mukminuun di Puntland, Somalia.

“Saat kali pertama menjejakkan kaki di bumi tandus itu, pemandangan yang tertangkap di mata adalah longgokan serpihan bangunan hancur dan musnah akibat serangan tangan rakus.

“Tanah yang pernah mendapat jolokan ‘Mutiara Putih di Lautan Hindi’ ini memperlihatkan senjata api menjadi aksesori biasa yang dibawa anak muda seolah-olah memegang gajet diusung ke mana-mana.

“Situasi yang paling menyentuh hati ialah apabila menyaksikan wajah wanita, kanak-kanak dan warga emas mengambil air telaga tertera tulisan IRM ketika sesi lawatan ke Shabelle Tengah. Malah haiwan ternakan juga berkumpul di situ untuk minum,” katanya.

Menyifatkan cabaran dilalui berbaloi, wanita ini terus memasang niat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia supaya lebih prihatin dengan isu global, khususnya krisis di Somalia.

Sementara itu, rakannya, Pengurus Bahagian Partner Care, Muhammad Haris Sharim menyifatkan dirinya bertuah apabila dua kali berpeluang menyertai misi kemanusiaan ke Somalia.


DUA sistem telaga air dibina pada 2018 adalah sumbangan rakyat Malaysia menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia 1.0 di Balcad.

“Saya sedar realiti kembara di wilayah bergolak tidak memberi jaminan akan pulang dengan selamat, namun yang pasti tugas ini adalah tanggungjawab suci.

“Andai gugur ditembusi peluru, syahidlah kami dalam perjuangan membantu mereka yang memerlukan.

“Ketika misi pertama pada 2017, delegasi berpeluang menjalani ibadat puasa dengan cabaran masa lebih panjang dan cuaca panas serta kering.

“Misi kedua pula, saya diuji dengan masalah kesihatan berpunca daripada sumber air digunakan hingga terpaksa dimasukkan ke wad selama tiga hari.

“Rupa-rupanya air yang saya gunakan untuk membasuh tangan sebelum menjamu selera diambil dari telaga air kotor berwarna hijau.

“Bayangkan bagaimana desakan hidup rakyat Somalia hingga terpaksa menggunakan air kotor sedangkan ia disahkan tercemar?” katanya.


SUASANA di sebuah kem pelarian di Nugaal.

Risiko keadaan bencana di Somalia bukan hanya memudaratkan rakyatnya apabila penyakit berpunca daripada bawaan air tercemar ialah demam kepialu, taun, hepatitis A, E. Coli dan leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus.

Melihat kesukaran penduduk Somalia dalam meneruskan kelangsungan hidup ekoran kehilangan sumber air yang menjadi nadi kepada kehidupan, IRM tekad meneruskan lagi perancangan untuk membina dua kompleks telaga air di Wilayah Nugaal, Puntland menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia 2.0.

Projek ini menyasarkan dana RM3.3 juta bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk setempat.

Nugaal terpilih menjadi lokasi pembinaan kerana kawasan itu antara paling teruk terjejas dalam bencana kemarau berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 9:41 AM
PEMBINAAN 2 kompleks telaga air di Wilayah Nugaal,Puntland diteruskan menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia2.0.