AMIN kongsi idea mengenai Malaysia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SENTUHAN elemen animasi dalam lukisan yang menggunakan cat air menjadi identiti bagi Amin Daud untuk menghasilkan karya lebih dekat dengan masyarakat.

Menyertai Bazar Seni anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM) bersama 16 artis lain, Amin mengakui mula berjinak-jinak dengan elemen cat air sejak dua tahun lalu.

“Latar belakang saya adalah animasi digital, namun tertarik untuk melakukan sesuatu yang

berbeza.

“Saya pernah mencuba untuk menghasilkan karya menggunakan akrilik dan ‘gouache’ sebelum mendapati cat air lebih sesuai dengan saya.

“Penggunaan cat air dalam karya boleh disifatkan lebih senang untuk saya berkarya kerana boleh melakukannya di mana saja sekiranya mendapat inspirasi berbanding ‘set up’ yang lain seperti penggunaan minyak.

“Kebanyakan karya saya fokus pada satu objek kerana ia mampu menarik perhatian orang mengenai idea yang ingin disampaikan. Bagi mencipta kelainan, elemen animasi turut diselitkan.

BAZAR seni disertai 17 artis.

“Seperti karya ‘Saga Biru 1985’, idea adalah mengenai semangat patriotisme apabila ia kereta nasional pertama yang dikeluarkan pada tahun berkenaan.

“Di sebalik lukisan ini juga, saya ingin menzahirkan nostalgia peribadi apabila pernah memiliki kereta Saga biru.

“Jika diperhatikan, saya meletakkan elemen animasi pada bahagian atas kereta sekali gus membuatkan hasilnya berbeza daripada realiti sebenar.

“Selain gabungan cat air dan animasi, saya juga memilih ton terang dan minimal berbanding warna ‘kusam’ seperti warna asas merah, biru serta kuning yang boleh dijadikan rona lain.

“Sebenarnya, jarang artis yang menjadikan cat air sebagai medium utama menggunakan warna terang sebaliknya ton yang lebih realistik dan klasik,” katanya.

Menurut Amin lagi, keistimewaan karya cat air berbanding digital adalah kesilapan ketika menghasilkan lukisan kerana di situ terletaknya kecantikan karya yang terjadi secara spontan.

Mengulas mengenai lukisan ‘Tukang Kasut’ yang dihasilkan ketika Bazar Seni berlangsung, beliau berkata, kisah ingin diceritakan ialah mengenai ketekunan dan semangat warga emas yang masih menggunakan kudrat sendiri untuk memastikan kelangsungan hidup.

AMIN fokus pada satu objek ketika berkarya.

Pemilihan warna yang neutral dan gelap pula menjadi simbolik kepada kehidupan golongan miskin bandar dalam mencari rezeki meskipun keadaannya serba kekurangan.

Sementara itu, Kurator Muzium dan Galeri Seni, BNM, Siti Melorinda Khuzaina Sakdudin berkata, acara tahunan sejak 2016 itu tampil dengan pelbagai tema apabila membawa 17 artis muda bersama identiti karya masing-masing.

Berlangsung pada 30 September hingga 6 Oktober lalu, Bazar Seni ini menampilkan karya yang menggunakan pelbagai teknik dan medium termasuk aspek landskap, seni bina, alam semula jadi, figura, cetakan, kuilan dan abstrak pelbagai bahan.

Beliau juga mengakui penyertaan bazar ini dalam kalangan artis muda bertujuan membuka platform kepada bakat baru untuk bersosial dan meluaskan jaringan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 9:27 AM