Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Nama Cik Siti Wan Kembang sememangnya sinonim dengan negeri serambi Makkah kerana wanita ini antara satu daripada pemerintah terkenal di Kelantan atau lebih tepat, Gunung Chinta Wangsa.

Ketokohannya dalam pentadbiran negeri sekitar 1610, menggamit kunjungan perdagangan asing termasuk dari Timur Tengah.

Kedatangan produk luar membuka lembaran baharu terhadap penduduk tempatan apabila ia turut mempengaruhi budaya dan tatacara pemakaian serta seni kraf tangan.

Pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Nazlina Shaari berkata, seni tenunan antara kain tradisional warisan Melayu yang masih wujud dan tinggi nilai estetikanya.


TONJOL nilai estetika.

“Seni tenunan dipercayai wujud sejak zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang kerana dalam sejarah Kelantan menyebut ikon wanita berkenaan meminjam alat menenun semata-mata ingin menenun kain.

“Kain tenun juga banyak dihasilkan di negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Dihasilkan daripada benang kapas dan sutera yang dibawa masuk pedagang asing, membuatkan kain tenun lebih eksklusif.

“Kain tenun juga menjadi persalinan pakaian diraja, pembesar negeri diikuti orang awam sejak 1800 hingga 1940-an.

“Menyentuh perihal kain tenun Kelantan, ia lebih bercorak merangkumi kain punca potong, kain limar dan songket.

“Kombinasi terkenal pada era Cik Siti Wan Kembang ini digayakan kain kemban, limar sutera hijau diikat lepas di dada dan selendang panjang.

“Berkemban jantan, kain sarung tenunan songket penuh panjang pula menutupi sepenuh bahu menyembunyikan bahagian badan.

“Tata pemakaian ini juga disempurnakan dengan pending dan tali pinggang emas diatas kain kemban.

“Kegemilangan pakaian ini bukan saja menyerlahkan status pemerintah, bahkan ia mengetepikan persoalan menjolok mata apabila berkemban digayakan bersama selendang lebat di bahu dan dada,” katanya dalam Bengkel Mengenal Busana Melayu.


PENGUSAHA songket, Zainab Mamat menunjukkan songket tenun.

Pernah menjadi busana larangan yang dikhaskan dalam kalangan kerabat diraja dan pembesar istana, sentuhan kreatif dihasilkan secara perusahaan kecil-kecilan menjadikan kain tenun sesuai digayakan semua lapisan masyarakat.

Tambahan pula, warisan menenun tradisional menggunakan tangan disifatkan satu kepandaian masyarakat Melayu ketika itu menghasilkannya di rumah masing-masing terletak di kawasan kampung berdekatan pesisiran sungai Kelantan dan pantai Laut China Selatan.

Faktor ini bersesuaian dengan lokasi strategik perdagangan yang membawa masuk material utama seperti benang, pewarna dan peralatan menenun.

Kata Dr Nazlina, cara pemakaian berkemban boleh dianggap pakaian wanita Melayu tertua dan terawal kerana berkemungkinan lebih awal daripada kurun ke-15.

“Berkemban hanya memerlukan sehelai kain panjang dan simpulan kain diikat kuat di atas dada tanpa menggunakan tali.

“Zaman dulu, wanita Kelantan dan Pattani berkemban menggunakan kain limar lepas bercorak jejari ketam dan punca potong tapak catur bersama kain sarung batik.

“Wanita ini turut mengenakan kain kelubung berfungsi sebagai selendang untuk menutup kepala, muka dan bahu.

“Ketika era pemerintahan Sultan Mansur (1890-1899), baginda tidak berkenan dengan cara pemakaian kemban dan menitahkan supaya wanita yang keluar berkemban, badannya akan disapu lumpur.


PERMAISURI Agong turut menghayati kain songket.

“Namun cara berkemban ini hanya diamalkan di kawasan pedalaman,” katanya.

Merungkai keistimewaan dan keindahan kain tenunan Melayu, beliau mengakui ia terletak pada corak tenunan yang menggambarkan kehebatan penenun dan pereka.

Katanya, setiap corak diinspirasikan daripada alam semula jadi yang diolah dan disusun untuk mencantikkan satu-satu tenunan sekali gus menyerlahkan sisi nilai estetikanya.

Menitik beratkan ciri kehalusan, ukiran, keseimbangan, keharmonian, keindahan dan ketenangan menjadi asas kesenian masyarakat Melayu.

Dr Nazlina berharap setiap sentuhan tenunan mengekalkan kandungan budaya dan kesenian tersendiri.

Walau apa pun reka corak dan motif dihasilkan, kain tenun mampu memperlihatkan perkembangan menarik kerana ia hasil seni yang berpotensi menembusi pasaran.

Jadi, dalam usaha meletakkan industri tenunan ke peringkat lebih tinggi, seni reka tekstil perlu mengekalkan nilai dan seni tradisional warisan Melayu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:10 PM