RUTIN hujung minggu Mushamir merakam foto dan menyapa orang di jalanan untuk mendengar kisah mereka.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Lebih 800 kisah individu ‘biasa’, tetapi mempunyai penceritaan pengalaman atau perjalanan hidup yang luar biasa dikongsikan atas platform media sosial sebagai inspirasi masyarakat umum.

Duka, gembira mahupun menyentuh nilai kemanusiaan dan emosi dilihat kekuatan kepada komuniti bergerak tanpa sebarang kepentingan itu terus mengetengahkan kisah isu kemanusiaan berlaku di Malaysia. Itu antara keunikan laman Facebook (FB) Humans of Kuala Lumpur.

Menurut Pengasasnya Muhammad Mushamir Mustafa, inspirasi itu bermula dengan satu gerakan sosial dilakukan jurufoto Brandon Stanton menerusi aktiviti merakam foto dan kisah jalanan penduduk sekitar jalan di bandar New York pada November 2010.

Mengambil inspirasi itu, Mushamir tertarik untuk merakam kisah orang biasa di Kuala Lumpur dimulai pada 2012 secara sambilan sebagai hobi selain mengasah skil penulisan dan merakam foto.

Katanya yang memulakan gerakan sosial itu secara solo, bukan mudah dan mengakui sesuatu yang kekok apabila perlu menyapa orang asing untuk berkongsi kisah mereka.

Namun ia tidak membuatkan eksekutif komunikasi korporat sebuah universiti swasta tempatan itu berhenti menulis dan merakam foto.

“Sesuatu yang susah ketika memulakan Humans of Kuala Lumpur ialah memulakan perbualan dengan orang kita tidak kenal.


AKRAB dengan rakan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Asalnya, saya tertarik dengan inisiatif Humans of New York dan tiada lagi gerakan seumpama itu di Kuala Lumpur. Jadi kebetulan saya tengah belajar dan bekerja sambilan sebagai penyelidik, saya beli kamera dengan wang kocek sendiri.

“Setiap hujung minggu saya turun ke lokasi tumpuan seperti Pasar Seni, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Petronas.

“Ada ketikanya saya pulang ke kampus ketika itu di Semenyih, Selangor dengan tangan kosong selepas meninjau dua tiga jam di sekitar Kuala Lumpur kerana gagal dekati orang awam dan dapat kisah mereka.

“Tidak dinafikan banyak kisah diterbitkan pada laman FB kami menyentuh emosi kerana itu kekuatan selain penyampaian mudah diterima umum.

“Kisah pekerja asing tidak pernah pulang ke negaranya selain remaja kacukan yang cantik menceritakan percintaan orang tuanya antara yang mendapat perhatian jutaan pelayar Internet tempatan. Tetapi, ada saatnya kisah saya temui masih di

pendam kerana terlalu sukar diceritakan,” katanya.


MENJADI inspirasi anak muda lain untuk menulis kisah jalanan.

“Saya berharap apabila orang baca, mereka yang terkesan akan menghulurkan bantuan baik barang, tenaga atau kepakaran serta wang ringgit untuk meringankan beban orang lain,” katanya.

Dalam gerak kerja Humans of Kuala Lumpur dia dibantu Yasmin Mortaza sebagai Ketua Pegawai Operasi, Ketua Penulis, Samantha Siow, Editor, Sydrah Mustaffa, Pengurus Projek, Chan Mei Xuan, Eksekutif Projek, Muhammad Aiman Mustafa dan Pereka Grafik, Khairul Ridhwan.

Pihaknya aktif

menjalankan kempen sosial membantu komuniti yang memerlukan supaya mendapat perhatian pihak berkenaan menerusi FB Human of Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 9:06 AM