HAZ bersama 10 karya dipamerkan pada umum.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

INTERPRETASI ‘kesamaan’ disampaikan dalam pelbagai medium karya seni dapat dilihat mahupun dirasai pengunjung pameran SAMA-SAMA Sempena Hari Malaysia berlangsung di White Box Publika Kuala Lumpur yang berakhir baru-baru ini.

Pameran itu menggabungkan kurator tiga galeri, FERGANA, Artemis Art dan Segaris Art Center bersama Arkib Negara Malaysia selain Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta UEM Sunrise dalam penganjuran pameran selama 15 hari bermula 2 September lalu.

Dalam pameran berkenaan lebih 60 karya membabitkan 47 seniman visual mahupun wartawan foto berkenaan gambaran mereka inti pati penting iaitu keunikan rakyat yang berbilang kaum, budaya, agama, sosioekonomi dan latar belakang yang bersatu demi pembinaan negara.


PENGUNJUNG hadir menyaksikan karya dihasilkan daripada 47 artis serta wartawan foto yang mengambil bahagian.

Antara artis menarik perhatian pengunjung ialah Haz Yusup, 26, yang tampil dengan karya mengetengahkan tema berat iaitu ekspresi kebebasan, elemen emosi sebagai fokus dalam 10 karya dipamerkan.

Menurut graduan jurusan Seni Halus dari Manchester School of Art itu, dalam lukisan berkenaan, imej individu mengenakan selubung atau selendang putih adalah metafora kepada kekangan atau konflik dialami individu.

“Dalam karya ini sebenarnya isu saya ketengahkan ialah berkenaan ‘kekangan’ atau ‘sekatan’ terdapat dalam diri setiap individu termasuk saya.

“Saya rasa pengalaman atau perkongsian sendiri mungkin boleh dapat dirasai pengunjung yang pernah berada dalam situasi sama. Jadi emosi isu penting di sini dan penghayatan mungkin berbeza tetapi persamaannya ialah mereka dapat kaitkan karya dengan pengalaman masing-masing.


KREATIF karya dipertontonkan pada umum dalam pameran SAMA-SAMA.

“Naskhah dalam koleksi ‘Affliction’ umpamanya menggambarkan posisi badan model seperti cuba melepaskan diri daripada balutan kain putih antara gambaran penderitaan dialami disebabkan ‘sekatan’ atau ‘kekangan’ dikenakan selain terjadi kepada individu,” katanya.

Kata Haz, dia mengambil masa tujuh bulan termasuk tempoh mengumpul material dan mempersiapkan model untuk mendapat gambaran terhadap karya berkenaan.

“Semua karya ini dihasilkan menggunakan cat minyak pada kanvas. Idea dibina terlebih dulu dengan bantuan model untuk gayakan posisi ini supaya dapat gambaran lebih baik mengenai visual akan dihasilkan dalam semua koleksi berkenaan,” katanya mengharapkan peluang untuk pameran solo akan datang.

Tidak lupa, 10 karya arca dihasilkan artis Khairul Azmir Shoib atau lebih dikenali Meme turut menarik perhatian pengunjung dalam pameran kali ini.

Koleksi beliau, Kisah Dongeng Rakyat dan Seram Malaya pasti diingati tidak kira latar belakang bangsa apabila tampil dengan pelbagai karakter menarik seperti puntianak, hantu galah dan Raja Bersiong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:57 AM