PEMBABITAN aktif dalam kalangan ahli dalam memberi khidmat terbaik pada pengguna jalan raya.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

MESKIPUN sudah dua minggu berlalu, kehangatan dan semangat patriotik sambutan kemerdekaan negara ke-62 tahun ini masih dapat dirasai masyarakat Malaysia.

Istimewanya Persatuan Agensi Pemasaran Bengkel Automotif Malaysia (MAWMAA) bersama komuniti trak tunda dan pengusaha automotif di zon pantai timur meraikan hari bersejarah itu dengan pendekatan berbeza iaitu menyelit mesej khidmat komuniti membabitkan keselamatan jalan raya.

Menurut wakil penganjur dan juga Pengerusi Persatuan itu Khamarulzaman Murad, seiring dengan meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62, isu sosial penting membabitkan masyarakat juga tidak boleh diabaikan.

“Dalam program Ambang Kemerdekaan berlangsung di Majlis Perbandaran Kuantan baru-baru ini membabitkan pemilik dan pengusaha trak tunda di zon pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, turut diselitkan mesej penting iaitu kempen keselamatan jalan raya.


SAMBUTAN kemerdekaan ke-62 diraibersama komuniti traktunda, pengusaha automotif.

“Program disertai lebih 300 pengunjung membabitkan pemilik lebih 100 trak tunda dan wakil pelbagai agensi termasuk Polis Trafik Diraja Malaysia Negeri Pahang, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Pahang, Bomba Negeri Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan dan St John serta Lions Club cawangan negeri.

“Mesej pertemuan selain menyatukan pengusaha bergerak di bawah satu bumbung, dalam medium sama kami berharap sasaran lebih penting iaitu membabitkan pengguna jalan raya awam supaya lebih jelas dengan hak mereka di jalan raya.


KEMPEN Keselamatan Jalan Raya antara misi berterusan membabitkan komuniti berkenaan.

“Isu membabitkan kes risiko ditipu membabitkan mangsa kemalangan dan mewujudkan jaringan sokongan padu pengguna jalan raya dan pemilik trak penunda atas dasar baik.

“Setidaknya mereka tidak melihat kehadiran trak penunda ini sebagai elemen negatif sebaliknya sebagai pembantu kepada agensi berkuat kuasa mahupun pasukan penyelamat ketika berlakunya kemalangan,”katanya.

Tidak lupa kehadiran jabatan terbabit setidaknya memberi gambaran masa depan berkenaan matlamat persatuan dan komuniti itu di pantai timur yang berhasrat mahu mengukuhkan jaringan kerjasama bagi semua pihak mengikut undang-undang termaktub.

Pihaknya berharap persepsi awam, agensi mahupun pengusaha trak tunda boleh menuju ke arah hubungan positif seiring dengan usia kemerdekaan negara sudah bebas selama 62 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:37 AM