62 ekor lembu dikorban melepasi sasaran awal 50 ekor
Rahayu Mohd Salleh
ayu@hmetro.com.my


PERJALANAN dua hari dua malam merentas tiga pintu sempadan negara bagaikan pulang ke kampung halaman, itu ungkapan yang sering diperdengarkan rakan konvoi setiap kali kami menjejaki bumi Kemboja.

Apabila melangkah ke kampung halaman, tentu sekali penghuninya perlu disantuni dengan pelbagai buah tangan. Namun itu jualah antara kekangan yang sering dihadapi kumpulan konvoi pacuan empat roda (4x4) kami ini setiap kali kunjungan untuk menyempurnakan ibadah korban di sana.

Ada tiga madrasah dan dua kampung menanti kunjungan kami yang lazimnya membawa bersama apa jua keperluan hasil sumbangan individu dan syarikat yang sudi menghulurkan bantuan.


PERSINGGAHAN di pejabat gabenor di Banteay Meanchey.

Al-Quran, telekung dan pakaian khususnya kain batik dan pelekat, sudah menjadi buah tangan rasmi yang diwakaf dan disedekahkan buat madrasah dan penduduk kampung.

Sering juga kami berasa barangan yang dikumpul tidak mampu menampung ratusan penerima namun apakan daya, bukan semudah itu memperoleh sumbangan meskipun setiap barangan tidaklah semahal mana.

Sejak program berkenaan bermula lima tahun lalu, konvoi Ziarah Ibadah Qurban ini bukan saja digerakkan atas dasar kemanusiaan dan minat mendalam untuk melaksanakan kerja amal malah ahlinya terdiri daripada pemilik kenderaan 4x4 bersama keluarga dan rakan mereka mengeluarkan wang saku sendiri untuk membuat segala persiapan.


FATIMAH Jaafar (kanan), peserta konvoi paling berusia tetap cergas meskipun sudah menjangkau 70-an.

“Kita bawa apa yang ada, insya-Allah ada rezeki mereka lain kali kita datang lagi,” kata penyelaras program Ziarah Ibadah Qurban 2019, Norizham Mahmod, bagaikan menyedapkan hati kami yang agak gusar sekiranya keperluan yang dibawa tidak mencukupi.

Bagaimanapun, kami bersyukur saat mahu bertolak meninggalkan tanah air, 13 kenderaan 4x4 daripada Kelab Kembara 4x4 Selangor (SAC), Kelab 4x4 Kuala Selangor dan Overlanders (O3F), yang mengikuti konvoi kali ini hampir penuh dengan pelbagai barangan sumbangan termasuk kira-kira 100 naskhah al-Quran.


KASSIM Lim Abdullah (kiri) mengagihkan daging korban kepada penduduk kampung.

Tidak ketinggalan bahan keperluan masakan daripada syarikat Adabi Consumer Industries Sdn Bhd yang tidak pernah ketinggalan membekalkan kami dengan pelbagai rempah ratus dan bahan masakan setiap kali konvoi ini merencana kerja amal di negara yang rata-rata penduduk Islamnya serba kekurangan itu.

Pada minggu terakhir sebelum bertolak, saya amat bersyukur apabila ada individu yang menyedekahkan ratusan helaian tudung pelbagai corak manakala berkotak-kotak pakaian terpakai yang masih dalam keadaan baik turut diterima di saat akhir.


SEBAHAGIAN rumah kampung yang jauh daripada arus pembangunan.

Lebih terharu apabila kumpulan ini berjaya menyempurnakan 62 ekor lembu korban pada hari pertama dan kedua Aidiladha lalu, melepasi sasaran awal 50 ekor di empat lokasi berbeza sekitar wilayah Kampung Cham dan Tboung Khmum.

Ahli daripada Koperasi Angkatan Bakti Solidariti Perlis Berhad (Kopabas) pula turut menyediakan pemeriksaan kesihatan untuk penduduk kampung.

Di perkampungan Phum Okrai, kampung angkat yang juga lokasi persinggahan pertama kami, selain ibadat korban dan mengagihkan daging korban kepada penduduk sekitar, gotong-royong memasak oleh ahli konvoi ini sudah menjadi rutin wajib buat kami.


KENANGAN di perkampungan Phum Okrai.

Sesudah menyampaikan barangan keperluan di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Barakah Lilbanat, acara korban diteruskan pada hari raya kedua di Madrasah Al-Ibtidaiyah Darussalam yang saban tahun menyediakan tempat bermalam untuk kumpulan kami dan menyudahi ibadat ini di Kg Poti’an dan Pondok Asyaraful Ulum, Tboung Khmum.

“Jika ada rezeki, kami berhasrat meneroka lebih banyak kawasan didiami umat Islam di pedalaman Kemboja.

“Ini khususnya kawasan yang masih daif dan mengendalikan operasi sekolah pondok secara tradisional yang masih tiada bekalan elektrik,” kata Norizham.

Perjalanan keseluruhan mencatat lebih 5,000 kilometer dalam tempoh 10 hari ini sekadar usaha kecil untuk mengerat ukhuwah, selain menghulur sumbangan sekadar terdaya buat umat Islam yang kurang bernasib baik di bumi yang kaya dengan hasil pertanian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 11:02 AM