JAYSHREE menunjukkan satu lukisan siri serangga dalam pameran solonya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com


KESEDARAN rakyat Malaysia berhubung isu hidupan liar yang terancam masih rendah. Biarpun rata-rata menzahirkan rasa simpati terhadap nasib fauna berkenaan yang kebelakangan ini terjejas, ia tidak memadai.

Satu kaedah mudah mendidik generasi akan datang mengenai biodiversiti khususnya spesies terancam ialah dengan mempamerkan senarai makhluk itu di sekolah dan merayakan sambutan hari memperingati haiwan yang diiktiraf antarabangsa.

Selain lawatan ke zoo, pameran dalam bentuk poster atau tayangan video pendek boleh diadakan supaya semua generasi akan datang tahu spesies haiwan yang terancam dan bagaimana mereka boleh membantu melindungi dan memulihara haiwan terancam berkenaan, sekali gus menyokong program pemuliharaan hidupan liar kerajaan.

Bagi pelukis, Jayshree Ramasamy, beliau mempunyai cara tersendiri dan unik untuk mendidik masyarakat supaya prihatin dengan kehidupan haiwan terancam apabila mesejnya disampaikan menerusi pameran solonya ‘Pause...A Collective Consciousness by Jayshree Ramasamy di Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Sebanyak 23 lukisan, empat arca dan tiga seni insolasi dipaparkan kepada beberapa siri bagi membolehkan pengunjung menghayati karyanya yang mengambil masa selama tiga tahun untuk dikumpulkan bagi tujuan pameran berkenaan.

JAYSHREE menerangkan maksud lukisan kepada pengunjung

Selain mengetengahkan haiwan terancam seperti harimau, badak sumbu, gajah dan penyu, Jayshree turut mempamerkan serangga yang mungkin kini sudah jarang ditemui.

Menurut Jayshree, walaupun karyanya dibahagikan kepada pelbagai siri, namun semuanya saling berhubung dan dipersembahkan secara seni menggunakan material sedia ada.

“Dalam siri ‘Kami di sini, bolehkah kamu lihat kami’ ia terdiri lima lukisan akrilik atas kanvas yang membawa pengunjung untuk melihat jauh ke dalam dimensi fizikal ruang dan masa berhubung kepada fasa berbeza sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mudah, namun ia mewakili komponen penting dalam dunia ini.

“Siri ‘Terancam’ pula memaparkan media campuran 10 haiwan terancam yang memainkan peranan penting dalam ekologi dunia. Material digunakan seperti kepingan kayu sebagai asas kepada karya haiwan yang dilakarkan menggunakan klip keluli.

“Karya insolasi wajah manusia diperbuat daripada rumput dan lumpur kering pula menjelajah sifat manusia yang tidak pernah puas apabila bersikap tamak dan mengeksploitasi alam sekitar semata-mata mengejar kemodenan,” katanya.

Pameran wanita yang berpengalaman selama 19 tahun ini dikatakan tepat pada masanya saat masyarakat ketika ini sering dipaparkan laporan mengenai kisah tragis haiwan terancam yang terpaksa keluar dari hutan akibat habitatnya diganggu.

“Mengambil iktibar daripada kejadian yang dilaporkan, cuba kita ambil sedikit masa dan renungkan apa yang sedang berlaku dalam dunia ini serta fikirkan apa peranan kita sebagai manusia untuk membantu haiwan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:26 AM