PEMENANG menerima hadiah disampaikan Dr Zurinah (dua dari kiri) diiringi Mohd Zulfahmee (dua dari kanan).
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


PROGRAM puisi merdeka antara platform yang boleh diguna bagi memperluas pembabitan rakyat dalam menyampai dan menunjukkan semangat patriotik mereka di samping membangkitkan semangat cintakan negara yang berkesan untuk mendidik generasi muda.

Sehubungan itu, pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan ke-33 peringkat Selangor yang berlangsung di Laman Budaya Shah Alam, baru-baru ini menjadi medium mengetengahkan suara mereka melalui pembacaan puisi dan gurindam mengenai erti kemerdekaan.

Seramai 26 peserta terbaik seluruh Selangor menyertai program anjuran bersama Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah.

Program ini turut mendapat sokongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor (JKKNS).

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail berkata, MBSA yang sememangnya aktif menganjurkan program seni dan budaya untuk kelestarian warga Shah Alam menjadikan kegiatan puisi ini sebagai medan bangkitkan semangat patriotik kepada generasi muda dalam menghayati erti kemerdekaan.

“Ini bertepatan peranan Shah Alam yang digagaskan sebagai kota seni oleh kerajaan negeri sejak 2015. Selain Shah Alam, Petaling Jaya turut memikul peranan sama.

“Puisi dipilih kerana ia mudah diterima masyarakat pelbagai lapisan usia dan bangsa. Oleh itu, program ini bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-62 negara bertujuan mewujudkan semangat kecintaan patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam penyertaan kali ini, puisi yang dideklamasikan merujuk kepada puisi dalam Buku Antologi Puisi Kemerdekaan Tanggam Warisan terbitan Gapena pada 2019, menggantikan Antologi Kemerdekaan Lentera Zaman yang digunakan sejak 2014.

Johan pertandingan disandang Mastura Abdul Hamid yang membawa pulang wang tunai RM800, trofi, hamper dan sijil. Mastura juga akan mewakili Selangor untuk bertanding di peringkat kebangsaan. Pemenang tempat kedua pula dimenangi Khadijah Ishak dengan meraih wang tunai RM500 dan hadiah iringan, manakala tempat ketiga, Nur Fatin Akmal Ahmad Sukri membawa pulang wang tunai RM300 dan hadiah iringan.

Hadiah disampaikan Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Yang Dipertua Kemudi, Zainal Mohd Jais, manakala pertandingan diadili barisan juri profesional iaitu Datuk Rahman Shaari, Razali Mohd Yussof serta Syed Mahadzir Syed Ibrahim.

Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan yang diadakan setiap tahun ini adalah wadah dalam membangkitkan semangat kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan. Program puisi ini juga satu daripada aktiviti Kemudi di Selangor untuk menanamkan semangat jati diri dan cintakan agama, bangsa serta negara melalui deklamasi puisi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:22 AM