Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


TERLETAK kira-kira 77 kilometer (km) dari timur Mersing, Pulau Aur tersenarai antara lima pulau di bawah Taman Marin Johor selain Pulau Dayang, Pulau Pinang, Pulau Lang dan Pulau Pemanggil.

Berbanding empat ‘beradik’ lain, Pulau Aur ini memiliki saiz keluasan yang jauh lebih kecil, kira-kira 28 km persegi dan jarang didiami kecuali kemeriahan dicipta pelancong.

Namun, tidak bererti pulau ini mempunyai kekurangan daripada aspek kepelbagaian spesies hidupan laut di perairannya mahupun kecantikan pantai dan alam di sekelilingnya.

Fakta sebenar, pulau adalah satu daripada pulau tropika yang paling tidak disentuh di negara ini sekali gus keindahan semula jadi terjamin termasuk perairan berwarna biru terang.

Atas faktor kejernihan dan kebiruan laut yang memukau membuatkan Pulau Aur sentiasa menjadi pilihan buat penyelam skuba untuk menikmati keindahan flora serta fauna lautan yang unik, terutama pada hujung minggu.

Pulau Aur memiliki latar belakang yang menarik apabila ia juga menjadi satu daripada tapak penyemaian kerang gergasi.

Di sini juga terdapat tarikan Batu Berhala, batu bersaiz besar berbentuk singa yang mempunyai legenda tersendiri.

Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti merentas hutan, pastinya tertarik untuk memanjat batuan besar yang memerlukan mereka mengecilkan badan bagi melepasi trek berkenaan menuju ke kawasan berbeza.

Laluan ini mengambil masa kira-kira satu jam, namun ia seakan-akan tidak terasa apabila pandangan mata lebih tertumpu kepada keindahan di sekeliling.

Selain itu, pulau indah ini masih mengekalkan budaya Melayu apabila penduduknya aktif bermain gasing pangkah sesama mereka.

Secara tidak langsung, permainan tradisional ini boleh dijadikan produk pelancongan yang boleh dikembangkan bagi mempromosikan Pulau Aur.

Sebagai satu daripada gugusan pulau indah di perairan Laut China Selatan, pulau ini mengalami musim tengkujuh bersama gelombang besar pada hujung tahun akibat tiupan angin timur laut.

Situasi ini menjadi halangan besar buat nelayan untuk turun ke laut mencari hasil tangkapan yang sememangnya lumayan di perairan ini.

Berdasarkan sejarah, pada Januari 1804, Pulau Aur pernah menjadi persinggahan tentera Perancis di bawah arahan Laksamana Linois bersama lima kapal perang bagi menjayakan misi pertempuran laut bersama British di Laut China Selatan.

Difahamkan terdapat beberapa resort dan chalet tersedia di pulau kecil ini.

Sekiranya berniat untuk menikmati keajaiban ciptaan-Nya, kunjungan ke Pulau Aur boleh dilakukan dengan menaiki bot dari jeti Mersing, jeti Tanjung Leman ataupun jeti Tanjung Gemuk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 8:51 AM