Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Berbaki dua minit lagi sebelum jarum jam menginjak ke angka 1 pagi, namun satu kawasan di Kampung Lubuk Periuk, Kuala Berang, Hulu Terengganu masih kedengaran sayup-sayup alunan ayat suci al-Quran. Ada juga bunyi seakan-akan orang berbisik dan membaca sesuatu.

Itu suasana biasa di Madrasah Addiniah Azzakiah di kampung berkenaan dan mempunyai lebih 40 pelajar dari seluruh negara.

Ditemani bunyi cengkerik dan hanya berpandukan cahaya lilin, saban malam pelajar sekolah pondok berkenaan tekun mengulang kaji serta menghafal kitab agama atau membaca al-Quran.

Bukan tidak mampu menggunakan lampu elektrik, tetapi penggunaan lilin dikatakan membantu mereka lebih fokus dan mudah menghafal.

Cara tradisional itu sememangnya sengaja dipraktikkan dan diperkenalkan pengasas masdrasah itu, Zaki Mansur, 44.

“Kami guna lilin supaya lebih mudah menghafal dan beri tumpuan ketika baca al-Quran serta mengulang kaji kitab agama,” kata Mohd Zulharis Zaulkafli, 21, antara pelajar sekolah pondok berkenaan.

Menurutnya yang berasal dari Selama, Perak cara unik itu sememangnya terbukti berkesan, bukan hanya kepadanya, malah semua pelajar mengakuinya.


PELAJAR dan tenaga pengajar Madrasah Addiniah Azzakiah, sentiasa mengamalkan konsep kekeluargaan.

“Mata kita hanya akan beri tumpuan di tempat cahaya dihalakan apabila guna lilin. Mengikut logiknya, otak kita lebih mudah menangkap apa yang dibaca.

“Memang tak sama dengan cahaya elektrik yang menerangi keseluruhan ruang bilik dan apabila mata ternampak objek lain, ia mengganggu tumpuan,” katanya ketika ditemui di madrasah berkenaan, baru-baru ini.

Bercerita mengenai dirinya, Mohd Zulharis berkata, dia mula menjadi pelajar di sekolah pondok itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

“Masa mula-mula dulu, susah juga saya nak sesuaikan diri sebab kena berdikari dan elektrik pun tak ada di pondok ini, tapi sekarang dah biasa.

“Jiwa saya kini rasa lebih tenang kerana boleh mendalami al-Quran dan dapat belajar bahasa Arab selain baca kitab agama lain,” katanya.

Tatkala anak rantau dan remaja seusianya bersenang-lenang dengan kehidupan penuh kebebasan, Mohd Zulharis memilih mengetepikan semua itu demi mendalami ilmu agama.

“Saya tak kisah pun dengan semua itu dan tidak pernah jemu menghabiskan usia remaja untuk menuntut ilmu agama di madrasah ini,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Sementara itu, Zaki atau lebih mesra disapa Ustaz Zaki berkata, semua pelajarnya dikehendaki membaca al-Quran dan mengulang kaji kitab menggunakan lilin atau pelita setiap malam.

“Cara ini digunakan sejak zaman saya mengaji pondok di Pengkalan Hulu (Perak). Ketika itu diajarkan arwah guru saya dan kini saya turunkan pula kepada pelajar pondok ini.

“Kalau ada elektrik, mata kita ‘liar’ lihat benda lain, contohnya kipas atau cicak dan sukar untuk fokus terhadap apa yang dibaca,” katanya.

Menurut Ustaz Zaki, setakat ini terdapat 43 pelajar di madrasah itu dan setiap daripada mereka dikehendaki membaca 15 kitab dalam bahasa Arab setiap hari.


DUA pelajar membersihkan empangan mini untuk membolehkan ‘warga’ Madrasah Addiniah Azzakiah mendapat bekalan air bersih.

“Tiada had umur, tetapi majoriti pelajar adalah remaja. Usia bukan halangan menuntut ilmu dan sebab itu kami sentiasa membuka ruang dan peluang kepada sesiapa yang datang

belajar agama di sini.

“Yang penting, ada keinginan. Yuran bulanan yang dikenakan juga sangat rendah iaitu hanya RM10, tapi kalau tak mampu, boleh datang belajar percuma,” katanya.

Katanya, madrasah berkenaan mengamalkan konsep kekeluargaan dan dibuka sekitar 2015 yang mempunyai pelajar dari seluruh negara termasuk Sarawak.

“Pelajar di sini diberikan cuti hanya dua kali setahun iaitu bermula 15 Syaaban hingga 7 Syawal dan tujuh hari pada Aidiladha.

“Ada macam-macam golongan datang ke sini, daripada yang susah hinggalah mereka yang berpangkat dan berpendapatan besar.

“Antaranya seorang peniaga yang pendapatan bulanannya sahaja mencecah RM30,000 namun dia menganggap wang dan kemewahan hanya sementara dan mengambil keputusan belajar di sini.

“Ketika ini kami cuma ambil pelajar lelaki usia remaja hingga warga emas dan mana-mana pelajar baharu dinilai dulu selama dua minggu kerana kami mahu mereka benar-benar serius nak mendalami ilmu agama,” katanya.


SEKUMPULAN pelajar membersihkan empangan mini.

Katanya, bagi menambah pendapatan untuk madrasah itu, dia dan beberapa pelajarnya kini mengusahakan tanaman cili kecil dan besar di atas tanah 0.4 hektar miliknya.

“Bekalan air untuk kegunaan harian pula diperoleh daripada empangan mini tiga kilometer dari madrasah ini yang dibina dengan kos RM26,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Empangan mini ini alternatif terbaik kerana pelajar semakin ramai dan penggunaan air semakin meningkat mendorong saya untuk memikirkan jalan bagi mengurangkan perbelanjaan membayar bil bekalan air,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, madrasah berkenaan amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi membolehkan ia berfungsi secara lebih terurus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 10:59 AM