PENUNTUT dan pensyarah CUCMS mengedarkan barang keperluan harian kepada masyarakat tempatan.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Seramai 40 penuntut Cyberjaya Universiti College of Medical Sciences (CUCMS) menyertai misi kemanusiaan antarabangsa ke Ho Chi Minh, Vietnam, awal bulan ini.

Misi Twenties For Smileys (TFS) Saigon Outreach of Unity & Soul (SOUL) 2019 ini bermatlamat untuk menyediakan saringan kesihatan yang sangat diperlukan dan memberi bantuan perubatan kepada komuniti miskin di negara bekas komunis itu.

Penasihat SOUL 2019, Prof Madya Mohamad Saidy Ismail berkata, Vietnam adalah tempat terbaik bagi penuntut mengasah kemahiran dan mengamalkan apa yang dipelajari di universiti.

“Di Vietnam, bencana alam terutama taufan, banjir dan tanah runtuh menyebabkan 185 nyawa terkorban dan hilang manakala 134 lagi cedera dalam masa 10 bulan tahun lalu.

“Bukan sahaja rumah dan penempatan mereka hanyut malah tanaman, bekalan makanan dan ternakan terhapus dengan kerugian 8,800 bilion dong (RM1.59 bilion).

“Maklumat terkini daripada Bank Pembangunan Asia pula menunjukkan 9.4 peratus rakyat Vietnam hidup di bawah garis kemiskinan.

“Walaupun kadar pertumbuhan Vietnam antara yang mencatatkan peningkatan tertinggi di dunia dan kadar kemiskinan berkurangan sehingga 75 peratus, negara ini masih mengalami tahap ketidaksamaan pendapatan yang tinggi, jurang dalam akses kepada penjagaan kesihatan dan kurang dalam kesamarataan jantina.


SEORANG peserta, Zulhelmi Zulkifli melakukan pemeriksaan terhadap penduduk tempatan.

“Kebanyakan hospital di Vietnam hanya mempunyai kemudahan dan peralatan perubatan yang asas. Selain itu, kakitangan perubatan kerap kekurangan kemahiran dan pengalaman yang diperlukan.

“Kerana itu, pendedahan penuntut kami kepada komuniti yang mempunyai akses perubatan terhad dapat memberikan mereka pemahaman yang lebih baik dalam bidang ini sebelum menjadi pengamal perubatan profesional,” katanya.

Bagi menjayakan program berkenaan, penuntut CUCMS mula mengumpul maklumat, menjalankan penyelidikan dan merancang misi kemanusiaan ini sejak Januari lalu.

Misi tahunan ini memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan, penjagaan perubatan, pendidikan dan sokongan kebajikan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik ini.

“Peserta melawat dan menjalankan aktiviti di Ho Chi Minh, Sekolah Bin Minh, Madrasah Darussalam, Kampung Cho Eh, Kampung Bau Bac dan Kampung Tay Ninh.

“Kami juga percaya dengan pendidikan dan latihan ini akan menghasilkan graduan yang cekap dan seimbang secara fizikal, intelektual, kerohanian dan emosi, sejajar dengan misi CUCMS,” kata Mohamad Saidy.


PESERTA terdiri daripada 40 penuntut dan tujuh pensyarah CUCMS di Pham Ngoc Thach University of Medicine.

Menurutnya lagi, antara aktiviti yang diadakan sepanjang SOUL 2019 ialah pemeriksaan kesihatan, ceramah berkenaan penjagaan kesihatan dan penyediaan barang asas untuk bantuan jangka masa pendek.

“Projek jangka panjang pula membabitkan pemasangan lampu solar di Kampung Tay Ninh bagi kemudahan tenaga elektrik kepada penduduk setempat sepanjang masa.

“Selain itu, mereka memberikan keceriaan kepada sekolah di kampung Cho Eh dengan lukisan mural yang dihasilkan,” katanya.

Pengarah Projek SOUL 2019, Iqbal Arif Ismayatim berkata, penuntut CUCMS sudah dilatih untuk menyeimbangkan pelajaran dan aktiviti luar kelas mereka dengan baik untuk menjadikan misi kemanusiaan ini berjaya tanpa mengendahkan tanggungjawab akademik.

“Perkara yang saya pelajari melalui misi ini adalah sikap tanggungjawab setiap individu. Tanpa mengira latar belakang, perkara yang paling utama ialah berapa banyak usaha yang kita berikan untuk membantu orang-orang yang memerlukan ini.

Peserta yang juga penuntut bidang farmasi tahun 3, Nor Nadirah Norzemi berkata, pengalaman paling berharga untuknya adalah peluang diperoleh untuk memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang kampung yang mungkin tidak pernah menjalankan pemeriksaan sebelum ini.

“Apa yang saya perasan dengan perubahan kepada diri sendiri, saya lebih peka dengan orang sekeliling selepas SOUL 2019,” katanya.

Sementara itu, penuntut jurusan psikologi, Nurul Batrisyia Romizan pula berkata, SOUL 2019 mengajarnya erti bersyukur.

“Kami luangkan masa selama lima hari bersama orang Vietnam, satu pengalaman yang membuatkan saya rasa rendah diri dan percaya ia akan memberi inspirasi kepada kami untuk terus membuat perbezaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 10:30 AM