NUR Syazalina (berkerusi roda) bersama Pengerusi GAPS, Rafidah Rafizah Ahmad (kiri) dan Dr Ezani.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Dianggarkan dua daripada 1,000 bayi yang baharu lahir menghidap palsi serebrum (CP) dan 40 peratus daripada mereka dilahirkan dengan penyakit itu membabitkan kes parah.

Pada masa ini, kira-kira 10,000 bayi dikesan menghidap CP di seluruh dunia setiap tahun.

Di Malaysia penyakit ini kurang diberi pendedahan kepada umum dan masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak pernah mendengar mengenai CP.

Menyedari hakikat ini, sekumpulan penuntut pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan projek ‘A Day to Remember at Zoo Negara with Cerebral Palsy Kids’.

Istimewanya, pengarah projek itu sendiri, Nur Syazalina Radzuan menghidap CP.

“Saya dapat idea untuk projek ini dan kemudian mencadangkannya kepada rakan untuk bersama-sama menjayakannya.

“Malah saya ingin memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kewujudan CP dan pada masa sama memberi kegembiraan kepada adik istimewa ini merasai pengalaman melihat haiwan di Zoo Negara.

“Pada masa sama saya juga berhasrat memberi keyakinan kepada ibu bapa anak istimewa ini untuk membiasakan anak mereka di khalayak ramai,” katanya.


SEMUA yang terbabit dengan projek ‘A Day to Remember at Zoo Negara with Cerebral Palsy Kids’ bergambar kenangan.

Menurut Nur Syazalina, dia bersama tujuh rakan termasuk penyelia MBA UKM, Profesor Madya Dr Ezani Mat Hassan, sangat berbangga dengan kejayaan projek berkenaan dan menganggap ia pengalaman berharga buat mereka yang terbabit.

Malah, katanya, rata-rata ibu bapa anak CP ini memberi maklum balas positif dengan menyatakan program berkenaan amat menyeronokkan.

“Bukan sahaja kepada anak istimewa ini malah ibu bapa juga tidak terlepas merasai pengalaman bermakna dan menyeronokkan,” kata Nur Syazalina.

Katanya, aktiviti di Zoo Negara itu secara tidak langsung mengajar ibu bapa terbabit supaya tidak segan membawa anak mereka yang menghidap CP ke tempat awam.

Projek berkenaan kolaborasi antara pelajar MBA UKM bersama sebuah badan bukan kerajaan iaitu Gabungan Anak Palsi Serebrum (GAPS).

Kata Nur Syazalina, mereka berharap semakin ramai pihak yang ingin bekerjasama dan memberi pendedahan secara lebih meluas mengenai CP kepada masyarakat di negara ini.

Projek berkenaan membabitkan 18 anak CP di samping pengiring mereka, lapan ahli jawatankuasa, seorang pensyarah dan 12 sukarelawan.

“Semoga projek ini dapat membuka mata masyarakat untuk lebih terbuka menerima anak istimewa ini dan diteruskan pada masa depan,” kata Nur Syazalina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 9:41 AM