PENGUNJUNG menghayati karya seni berusia ratusan tahun.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


LONDON, Paris, St Petersburg, Rome, Florence, Washington, Munich dan Krakow antara destinasi yang perlu dikunjungi pencinta seni sekiranya ingin menyaksikan sendiri 17 koleksi pelukis tersohor dunia, Leonardo da Vinci.

Berita baik buat penggemar seni apabila buat pertama kalinya Balai Seni Negara membawakan pameran, Leonardo Opera Omnia bermula 15 Julai hingga 15 Ogos ini.

Pameran jelajah ini dianjurkan sempena sambutan memperingati ulang tahun kematian Leonardo ke-500 dengan kerjasama Kedutaan Itali di Malaysia, Kementerian Luar Negara Itali dan RAICOM.

Ia berbentuk pameran reproduksi berteknologi tinggi yang mampu menaikkan kembali perincian karya berusia lebih 500 tahun Leonardo yang kian pudar.

Sebaik memasuki ruang Balai Seni Negara, pengunjung pasti kagum dengan karya The Last Supper berukuran asal 460 sentimeter (sm) X 880sm terpampang pada dinding.

Lukisan ini sememangnya mustahil untuk dibawa berikutan ia adalah karya mural menghiasi dinding Santa Maria delle Grazie, Milan yang berjaya disempurnakan Leonardo pada 1498.

Selain karya The Last Supper sinonim dengan tokoh itu, pastinya potret popular dunia, Mona Lisa yang dihasilkan sekitar 1501 hingga 1503 menjadi tumpuan pengunjung.

Senyuman dan tatapan mata misteri Mona Lisa menghiasi dinding dengan ukuran gergasi, sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai memasuki ruang galeri pameran di tingkat tiga.

Menggunakan kaedah pencahayaan suram dan 'spotlight' fokus pada karya, membuatkan pengunjung hanyut sepenuhnya dalam penghayatan mengagumi koleksi karya berusia ratusan tahun.

Antara karya lain adalah ‘The Virgin of the Rocks,’ ‘Saint John the Baptist,’ ‘Madonna and Child,’ ‘Ginevra de' Benci,’ ‘Adoration of the Magi,’ ‘Lady with an Ermine’ (Cecilia Gallerani), ‘La Belle Ferroniere,’ ‘Potrait of musician’ dan ‘Head of a Woman’ (la Scapigliata).

Paling unik, kajian Leonardo, Codex, berkenaan cara penerbangan burung yang ditulis bersama 67 ilustrasi dalam buku nota turut dipamerkan.

Menurut Kaunselor Kedutaan Itali di Malaysia, Silvia Marrara, pameran ini hasil kerjasama antara Malaysia dan Itali bagi menggalakkan hubungan dua hala, serantau serta antarabangsa.


MADONNA and Child. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

“Ini satu daripada inisiatif diplomasi kebudayaan Itali untuk memperkenal dan membawa budaya, seni serta sains masyarakat Itali kepada Malaysia menerusi karya istimewa orang Itali.

“Bagi mereka yang mempunyai kekangan untuk mengelilingi dunia bagi menyaksikan karya asli Leonardo da Vinci yang berada di pelbagai muzium, kami membawakan koleksi itu ke sini, sekali gus berpeluang menghayatinya sendiri.

“Pemilihan Leonardo bagi pameran ini bukan saja memperingati pemergiannya pada 1519.

“Sebaliknya kami ingin berkongsi semangat besar seorang lelaki yang berasal dari pekan kecil, Vinci, yang berhijrah ke merata tempat merangkumi Florence, Milan, Paris dan Rome.

“Kehidupan beliau turut menjadi simbolik kepada Itali, 'Vivere all'italiana' atau bererti hidup gaya orang Itali yang merangkumi ciri budaya, kreativiti serta sikap ingin tahu," katanya dalam majlis perasmian pameran itu baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

“Kehidupan beliau turut menjadi simbolik kepada Itali, 'Vivere all'italiana' atau bererti hidup gaya orang Itali yang merangkumi ciri budaya, kreativiti serta sikap ingin tahu," katanya dalam majlis perasmian pameran itu baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi dan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:20 AM