ROZALI (kiri) menerima penajaan program dari Zahrin.
Mohd Husni Mohd Noor
husni@hmetro.com.my


KEMBARA santai bermotosikal sambil menyantuni keluarga asnaf dan pada masa sama, membawa misi kesedaran menghapuskan denggi memberi pengalaman berbeza buat sekumpulan 30 ahli kelab motosikal NMax SeMalaysia.

Program konvoi dikenali Mega TTs dan Charity Ride 2019 yang diadakan baru-baru ini dianjurkan NMax SeMalaysia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) dengan sokongan Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd cawangan Putrajaya.

Konvoi berkenaan membawa bersama kempen Misi Gempur Denggi yang kini digerakkan SMKPP9 (1) di mana sekolah berkenaan mewakili Putrajaya bagi Program Dengue Patrol yang dikelolakan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama syarikat penjagaan kesihatan, Sanofi Pasteur.

Misi berkenaan turut disertai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKPP9 (1) Rozali Rajab dan Pengerusi NMAX SeMalaysia Muhammad Hanirfan Abdul Kader. Program bermula kira-kira jam 6.45 pagi dengan pelepasan peserta konvoi di tol Gombak sebelum bergerak menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu.


MAJLIS pelepasan konvoi.

Selain konvoi bermotosikal, peserta juga sempat melawat mercu tanda baharu iaitu jambatan angkat atau ‘drawbridge’ di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, program agihan sumbangan pula membabitkan 10 keluarga asnaf di mana majlis penyampaian disempurnakan ahli NMax SeMalaysia.

Sementara itu, Rozali berkata, program berjalan dengan lancar dan beliau berharap program seumpama ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat setempat betapa pentingnya membanteras denggi.

“Misi Gempur Denggi adalah program yang penting dan ia perlu mendapat sokongan pelbagai pihak.

“Selain program ini, pihak sekolah juga menganjurkan pelbagai aktiviti lain termasuk program gotong-royong di sekitar kawasan kediaman dan kuarters di Putrajaya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Di samping itu, Pengurus Cawangan Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd Putrajaya, Zahrin Ibrahim berkata, beliau berharap bantuan yang diberikan itu dapat membantu meringankan beban keluarga asnaf.

“Kami berharap semoga sumbangan ini dapat ditingkatkan lagi pada masa akan datang.

“Malah kami juga doakan supaya Misi Gempur Denggi yang dilaksanakan SMKPP9 (1) ini dapat dilakukan dengan jayanya dan berkesan selain mampu mendidik masyarakat setempat berkenaan bahaya denggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 9:45 AM