KANAK-KANAK bandar mencuba batu seremban.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


NEGARA kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Permainan tradisional seperti congkak, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, tarik upih dan konda-konde diamalkan masyarakat dahulu sebagai pengisi masa lapang.

Sayangnya permainan tradisional yang menunjukkan kebudayaan sesuatu tempat itu mula sedikit demi sedikit terpinggir apabila kebanyakan daripada permainan berkenaan kurang diketahui golongan muda.

Malah permainan tradisional semakin dilupakan kerana perkembangan pesat teknologi gajet dan penambahan aplikasi permainan secara maya.

Dalam usaha mengekalkan tradisi rakyat ini, Kelab Anak-Anak Hebat Ikatan Muslimin Malaysia (Nazim) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Sukan Tradisional secara dua tahun sekali untuk memberi pendedahan kepada generasi muda terutama kanak-kanak.

Program kali ini dengan tema Tradisi Membentuk Jati Diri itu juga dianggap sebahagian usaha memartabatkan permainan tradisional di negara ini, di samping memupuk minat orang ramai terhadap permainan tradisional.

Bagi Nazim Kuala Lumpur yang menganjurkan karnival berkenaan di kawasan bertaraf bandar raya dikatakan lebih mencabar berikutan kanak-kanaknya pada masa ini lebih banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan.


AKSI peserta bermain tuju tin.

Kemunculan media sosial dengan pengaruh hiburan yang kuat menyebabkan mereka menganggap permainan tradisional sudah lapuk dan ketinggalan zaman.

Bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini lapan permainan tradisional diketengahkan iaitu tuju tin, tarik tali, galah panjang, congkak, batu seremban, tarik upih, sepak bulu ayam dan boling kelapa.

Pengarah program, Mohd Norhafizudin Hamzah berkata, permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi muda masa ini.

“Kelab ini terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun membabitkan tiga cawangan di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan Damansara. Mutakhir ini kanak-kanak peringkat rendah mahupun remaja lebih terikat dengan permainan gajet dan keadaan ini boleh menjadi budaya tidak sihat jika tidak dikawal.

“Sehubungan itu, dengan wujudnya program seperti ini ia mampu mengalih sementara pandangan golongan berkenaan daripada gajet.


GELAGAT peserta bermain Tarik Upih.

“Pada tahun ini corak karnival berbeza sedikit berbanding penganjuran sebelumnya apabila kami turut membuka penyertaan kepada orang dewasa. Pembabitan ibu bapa ini diharapkan mampu berinovasi untuk mewujudkan atau melahirkan idea riadah cara tradisional,” katanya.

Sedikit maklumat mengenai permainan tuju tin, ia dikatakan mula diperkenalkan di negara ini pada awal 1950-an. Namun asal usul permainan ini tidak dapat dipastikan kerana sudah wujud sejak dahulu sebelum berkembang ke seluruh Tanah Melayu dan dimainkan pelbagai kaum.

Permainan baling tin yang menggunakan tin susu terbuang memerlukan kemahiran, ketangkasan dan kebijaksanaan untuk memenangi sesuatu perlawanan. Malah, permainan ini juga memerlukan kerjasama yang erat antara pemain dalam satu pasukan.

“Secara umumnya, permainan tradisional bukan sahaja memberi hiburan, malah ia memberi manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani ketika bermain terutama di luar rumah.

“Mewarisi tradisi kaum terdahulu bukan bermakna kita masih berada di takuk lama, sebaliknya perlu berbangga dengan kebudayaan kaum sendiri yang mampu mengangkat kita bersama dalam membangunkan negara,” katanya.

Karnival peringkat wilayah Kuala Lumpur itu dirasmikan Naib Yang DiPertua Ikatan Muslimin Malaysia Kuala Lumpur, Muhammad Nukman bin Abdul Halim. Turut hadir, Guru Besar SK Seksyen 9 Kota Damansara, Mohd Yusop Mat Zin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Nor Azlan Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 9:06 AM