PAKAR perubatan dan sukarelawan HBB berkhidmat dengan sepenuh hati.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BERHASRAT mengembalikan semula senyuman adalah ‘semboyan’ kepada kempen kemanusiaan Projek Sumbing Bibir dan Mulut Kemboja Kengkawan Project dan Hospitals Beyond Bondaries (HBB) kali ini.

Menyasarkan dana RM60,000, dua badan bukan kerajaan (NGO) terbabit memulakan aktiviti mengumpul dana kempen itu menerusi hasil kutipan daripada jualan tiket Konsert Amal Senyuman Kemboja yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Menurut Pengasas Kengkawan Project yang juga Koordinator bersama konsert berkenaan Norhana Osman Haron, konsert pertama dianjurkan pihaknya ialah empat tahun lalu bagi membantu penghidap katarak di Bangladesh. Kali ini masyarakat Islam Melayu Champa di Kemboja pula mendapat perhatian pihaknya.

“Konsert yang menggunakan pendekatan sama iaitu hiburan dan pengisian rohani dalam mendapatkan sokongan masyarakat tempatan dalam ‘memayungi’ kerja amal kami untuk membantu saudara kita yang mengalami masalah sumbing mulut dan lelangit di Kemboja.

“Jumlah dana diperlukan sekitar RM60,000 untuk membolehkan sekumpulan pakar perubatan dari Malaysia terbang ke Kemboja melakukan pembedahan itu yang bakal membantu 100 pesakit di sana.


MEMBERI khidmat dan kemudahan kesihatan kepada komuniti.

“Kutipan tiket yang kami jual iaitu RM50 dan RM70 itu akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung bantuan itu dan semestinya kami berharap jumlah itu berjaya terkumpul dalam tempoh kempen berkenaan berlangsung.

“Merujuk kepada konsert bakal berlangsung Sabtu ini di Balai Budaya Tun Syed Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ini acara pembukaan kempen dan pihak kami menggunakan platform media sosial iaitu Instagram serta Facebook Kengkawan Project sebagai saluran jualan dan promosi selain bantuan rakan NGO serta agensi terbabit dalam kempen sama.

“Konsert amal itu bakal disertai lebih 62 artis sepanjang 2 jam 30 minit persembahan seperti Caliph Busker yang turut hadir memberi sokongan kepada konsert ini seperti tahun sebelumnya. Selingan turut ditampilkan iaitu tazkirah daripada Ustaz Don Daniyal dan PU Razi,” katanya.

Bagi vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat, ini antara sumbangan boleh diberikan dia dan rakan artis lain membantu golongan memerlukan.

“Kami yang juga golongan istimewa semestinya sentiasa mencari peluang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Inilah ruang dan saluran tepat serta berharap ia menjadi contoh bahawa sesiapa juga boleh membuat kebaikan kepada orang lain mengikut keupayaan dan kemampuan masing-masing,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran HBB Ahmad Yusri Aiman Mat Yusof berkata, NGO itu sudah bertapak sejak 2012 dan memiliki hospital sendiri pada 2015 di Kemboja, sentiasa berusaha menambah baik fasiliti dan servis diberikan kepada komuniti Kemboja.

“Kempen kali ini kami menyasarkan 100 pesakit sumbing mulut dan lelangit dibedah dalam tempoh tiga tahun. Projek ini dilakukan berterusan dan keutamaan kepada pesakit dewasa tidak berkemampuan untuk menjalani pembedahan.

“Mereka ini yang hidup 20 hingga ke 25 tahun dengan penyakit berkenaan tidak dapat senyum dengan sempurna dan itu misi kami iaitu kembalikan senyuman serta keceriaan dalam hidup mereka.

“Dalam projek ini kami turut berkolaborasi dengan Unit Pergigian UiTM Sungai Buloh dan projek lalu kami pernah laksanakan pemulihan Hernia,” katanya.

Pihaknya mengalu-alukan sokongan orang ramai menerusi pembelian tiket konsert selain sumbangan berterusan kepada kempen berkenaan di laman sosial Kengkawan Project.


KEMPEN membantu pesakit Katarak di Bangladesh empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:05 AM