TUNKU Azizah berangkat menyaksikan pameran seni ‘Art with Heart 2019’ oleh
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


SERAMAI 27 peserta pameran lukisan Seni Dengan Hati 2019 anjuran Kumpulan Perbankan RHB (RHB) bertuah apabila karya seni mereka mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat menyaksikan pameran seni itu di pusat beli-belah di Bangsar, ibu negara, baru-baru ini.

Baginda diiringi anakanda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Malah, pameran itu turut menampilkan tiga karya seni yang dilukis khas Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Pameran kali ketiga dengan tema ‘Diversity & Inclusivity’ itu menempatkan 100 karya seni hasil artis tempatan terdahulu dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi.


RHB sedia platform bakat muda pamer karya.

Penganjuran pameran itu sebahagian inisiatif tanggungjawab korporat RHB dalam menyediakan platform kepada

artis tempatan untuk mempamerkan karya mereka.

Ia membabitkan pelbagai elemen kepelbagaian dan ‘keterangkuman’ termasuk kaum, etnik, jantina, usia, kelas sosial, keupayaan fizikal dan nilai etika.

Mohammadin berkata, pameran berkenaan memberikan artis tempatan platform bernilai bukan saja untuk mempamerkan karya seni mereka, malah sebagai medium mengembangkan kerja artistik yang mampu mengangkat seni tempatan ke aras lebih tinggi dan pada masa sama membantu meningkatkan pelancongan seni di negara ini.

“RHB mengambil langkah dengan memberi peluang dan menyediakan ruang kreatif kepada artis tempatan muda serta sedang meningkat naik untuk mempamerkan keupayaan kreativiti mereka.

“Usaha ini menghubungkan bakat muda berkenaan kepada peluang lain yang akan memberi mereka pendedahan dan pengiktirafan sewajarnya di dalam serta luar negara. Ia juga akan menyumbang ke arah mewujudkan suasana seni dan budaya yang mapan di Malaysia,” katanya.


ANTARA karya seni hasil bakat muda dipamerkan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya berbangga dapat memanfaatkan bakat dan idea artis muda tempatan.

“Seterusnya karya mereka yang segar dapat menyemarakkan senario seni tempatan. Kami percaya budaya seni akan memperkaya dan mewujudkan makna dalam kehidupan masyarakat.

“Ini berikutan seni mempunyai keupayaan untuk menyatukan komuniti, mengaktifkan ruang, mempromosikan pembangunan mampan, pelaburan, pelancongan dan aktiviti ekonomi. Penghargaan seni dan budaya berada di dalam mana-mana masyarakat,” katanya.

Pameran yang dirangka Sarah NH Vogele itu mempunyai bentuk seni dan medium yang menggambarkan bakat luar biasa yang ditunjukkan melalui akrilik, pemindahan gambar, impasto serta jahitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:09 AM