DEMONSTRASI aman menuntut darurat iklim diisytiharkan. FOTO Rosdan Wahid
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PERHIMPUNAN Iklim 2019 disertai lebih 50 aktivis alam sekitar mula berarak dari Masjid Jamek hingga ke Dataran Merdeka pada Ahad lalu sebagai tanda solidariti kepada deklarasi Malaysia terhadap Darurat Perubahan Iklim dunia.

Deklarasi berkenaan bagi membolehkan isu kepincangan alam sekitar diperbincangkan secara serius seperti langkah diambil beberapa negara termasuk Kanada.

Demonstrasi yang berlangsung dengan aman anjuran Klima Action Malaysia (KAMY) itu menyenaraikan sembilan tuntutan membabitkan langkah yang perlu diambil kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim secara serius.

Menurut Koordinator Perhimpunan Iklim 2019 dan aktivis KAMY, Ili Nadiah Dzulfakar, isu perubahan iklim kian meruncing dan menyedarkan semua pihak bahawa situasi dialami Malaysia ketika ini adalah ‘parah’.

Merujuk kepada masalah pencemaran kimia melanda penduduk Pasir Gudang, Johor dan Kuala Koh, Kelantan membabitkan masyarakat Orang Asli Batek sehingga berlaku kehilangan nyawa, seharusnya memberi kesedaran pentingnya pengisytiharan darurat iklim di peringkat umum.

“Kami mahu perubahan iaitu pihak berkuasa mula memikirkan kesan jangka panjang iaitu kemusnahan hutan semula jadi tidak terkawal akibat pembangunan tidak terkawal.

“Demonstrasi aman pada hari ini bukanlah menandakan kami mahu menentang tetapi menyuarakan kebimbangan terhadap masalah yang timbul kebelakangan ini akibat pencemaran kimia, kerosakan hutan dan aktiviti peladangan tidak terkawal.


LAUNGAN wakil NGO serius menangani isu alam sekitar. FOTO Rosdan Wahid

“Kedudukan Malaysia merosot iaitu berada pada tangga ketiga dalam senarai negara membebaskan karbon tertinggi di udara selepas China dan Indonesia, manakala keluasan hutan semula jadi turun mendadak hingga kepada 18 peratus dibandingkan 20 tahun lalu, ia bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan.

“Didorong semua faktor ini, iklim paling terkesan termasuk perubahan suhu iaitu meningkat 1.5 darjah Celsius dikatakan serius dalam kalangan saintis dunia.

“Jadi kami memerlukan sokongan penduduk Malaysia terutamanya agar kita semua sedar hak menikmati alam semula jadi yang bersih serta persekitaran selamat menerusi tuntutan saluran yang boleh didengari pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia Sophie Tann berkata, kehadiran

bersama aktivis pelbagai NGO ini sebagai tanda bersatu hati. Ia diharap membuka mata masyarakat umum mengenai masalah alam sekitar semakin

serius.

“Saya mahu pembabitan lebih ramai belia kerana mereka ini yang akan meneruskan hidup bersama alam yang semakin ‘sakit’ pada masa akan datang.

“Hutan dan pokok selain sumber oksigen ialah penapis biologi semula jadi dalam membekalkan sumber air bersih tetapi apabila diancam dengan semua aktiviti berkenaan bukan saja kita tiada simpanan air bersih untuk masa depan, air sedia ada turut tercemar. Jadi fikirkanlah kehidupan yang macam mana anda mahukan selepas peristiwa Sungai Kim Kim atau Kuala Koh, ” katanya


TUNTUTAN maklumat lebih telus berkaitan isu alam sekitar. FOTO Rosdan Wahid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 9:43 AM