Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


PASU bunga daripada penutup tiub ubat, dinding rumah batang aiskrim dan tiang elektrik kayu penyepit. Demikian alatan daripada bahan terbuang yang digunakan bagi menghasilkan model panorama miniatur atau lebih dikenali sebagai seni diorama.

Kreativiti daripada bahan yang tampaknya tidak berguna dan boleh dikitar semula ini bukan saja menjadi karya seni mengagumkan tetapi dapat menjadi peluang untuk menjana pendapatan sampingan bagi Mohamad Sahrul Naim Arbain, 28.

Biarpun menghasilkan karya menggunakan bahan terbuang bukan perkara baharu berikutan sudah ramai melakukannya termasuk artis terkenal, memanfaatkan segala benda yang ada di sekeliling menjadi motif utama Mohamad Sahrul untuk mengubah persepsi orang ramai yang sering menganggap seni diorama adalah hobi mahal kepada hobi bernilai.

Penggunaan alat dan bahan yang sesuai diperlukan dalam proses penghasilan karya diorama membabitkan kerja membentuk dan membuat binaan. Tanah liat, kertas, serbuk papan, kotak, tin minuman dan botol plastik boleh saja menjadi pencetus idea bagi insan kreatif.

MODEL rumah tradisional koleksi Mohd Sahrul Naim.

Mohamad Sahrul atau lebih dikenali sebagai Pak Teh Naim berkata, beliau sendiri memulakan hobi membentuk dan membuat binaan diorama daripada bahan mudah didapati seperti lidi sate dan kotak terbuang.

“Saya mula terbabit dalam seni diorama secara tidak sengaja ketika berusia 11 tahun. Pada waktu itu saya perlu menyiapkan satu replika rumah untuk projek sekolah.

“Saya menggunakan kad manila untuk membuat replika kediaman berkenaan dan guru yang menyelia memberi ulasan karya yang dihasilkan saya itu kelihatan cantik tetapi kurang kemas.

“Bagaimanapun, saya diberi markah tinggi untuk projek berkenaan dan ini yang mendorong saya untuk mencuba membina replika bangunan lain dengan lebih baik,” katanya.

Mohd Sahrul Naim berkata, disebabkan sumber kewangan yang terhad berikutan masih bergelar pelajar, beliau menggunakan alatan daripada bahan terbuang atau barangan murah dan mudah diperoleh seperti di kedai menjual perkakasan.

“Namun, ketika itu saya belum didedahkan kepada seni diorama dan hasil seni saya lebih kepada membina replika rumah saja.

“Saya mengenali diorama sekitar 2016 selepas menonton video kraf tangan yang menunjukkan langkah demi langkah menghasilkan pokok daripada dawai menerusi saluran YouTube.

HOBI diorama boleh dilakukan bersama ahli keluarga.

“Perkara itu mencetuskan minat saya untuk mencuba seni diorama yang bukan saja menumpukan kepada pembinaan bangunan semata-mata, sebaliknya pemandangan suasana sekeliling yang cantik dan terperinci.

“Diorama sendiri adalah model tiga dimensi (3D) yang mengandungi pelbagai objek untuk menggambarkan situasi sebenar dan lazimnya dibina di atas tapak khas dipanggil ‘diorama base’,” katanya yang kemudian belajar mengenai penghasilan diorama melalui Internet.

Beliau sudah menghasilkan puluhan model khususnya rumah tradisional bagi mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana kampung. Setiap satu model mengambil masa antara dua hingga empat minggu untuk disiapkan.

Selain itu, Mohd Sahrul Naim turut membuka laman sosial dengan akaun Deko Deko Kraf sebagai platform mendedahkan seni diorama kepada masyarakat termasuk cara menggunakan bahan terbuang secara kreatif sebagai alatan dan bahan membina model diorama.

Kemahirannya selama 15 tahun dalam hobi ini membolehkan dia dijemput Rumah Seni Selangor (RUsSel) sebagai tenaga pengajar dalam bengkel asas seni diorama di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Bengkel itu sebahagian usaha RUsSEL menggalakkan masyarakat terutama golongan belia terbabit dalam aktiviti seni.

Bagi Mohd Shahrul Naim, objek untuk seni diorama boleh dihasilkan dengan mudah dan digalakkan membuat kerja dengan menggunakan bahan murah serta senang didapati berbanding membeli bahan khusus diorama tetapi harganya mahal.

MOHD Sahrul Naim menunjuk ajar seorang peserta membina model kecil.

Diorama bermaksud paparan tiga dimensi yang menunjukkan pemandangan tempat asal kejadian. Ia juga satu pameran model yang disusun rapi supaya dapat menggambarkan keadaan atau rupa bentuk pemandangan asal. Kebanyakan diorama dapat dilihat di muzium yang mempamerkan pemandangan atau keadaan semasa zaman silam.

Perkataan diorama itu berasal dari Perancis yang bermaksud ‘melalui pandangan’. Model diorama pertama dikatakan dicipta oleh Daguerre dan Charles Marie Bouton serta pertama kali dipamerkan di London pada 1823.

Diorama moden lebih kecil dan ia menggunakan model skala serta landskap untuk mewujudkan adegan sejarah atau fiksyen. Karya seni ini juga terdapat dalam pelbagai bentuk, saiz dan tahap ketelitian. Saiz skala yang biasa digunakan adalah satu perenam, 1:12, 1:18, 1:32, 1:35, 1:64, 1:72, 1:100 dan 1:500.

Komposisi situasi replika yang ingin dibina hendaklah diletakkan pada tapak atau dinding dan kedudukannya dapat dilihat dari hadapan atau pun sisi.

Objek yang hendak disusun boleh digantung, didirikan atau dilekatkan pada tapak dan dinding. Bahagian dinding dilukis latar belakang untuk menggambarkan situasi yang diperlukan berdasarkan tema diorama. Bahagian tapak kotak pula dihias dengan bahan untuk menimbulkan situasi yang sama seperti tema diorama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 10:20 AM