RAJA buah terhasil daripada teknik seni pensel warna.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Seramai sembilan artis dari seluruh Malaysia bergabung mempamerkan karya seni mereka dalam pameran Melukis: Grafit & Tinta anjuran Yayasan Maybank di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pameran berkenaan adalah sebahagian daripada siri seni Balai Seni Maybank 2019 yang berperanan untuk memperkuatkan pembangunan artis tempatan, bertujuan menggambarkan perjuangan masyarakat, kehidupan rakyat dan menghargai pelbagai tafsiran karya seni halus.

Sebanyak 55 karya seni yang dilakar menggunakan grafit dan tinta di atas kanvas hasil nukilan Arikwibowo Amril, Izzah Nazeri, K Krishnan, Monica Lee, N Shanthamathe, Shahbandi Samat, Thangarajoo M Kanniah, Hasren Ismail atau Uneh daripada Persatuan Seni Pensel Warna Malaysia serta artis jemputan, S Amin Shahab.

Apatah lagi pameran berkenaan turut menggabungkan norma seni figuratif dan bukan-normatif yang memberikan peminat seni satu pandangan baharu berkenaan karya seni grafit dan tinta. Buat pertama kalinya, Balai Seni Maybank menyediakan satu pameran yang sepenuhnya berdedikasi kepada seni grafit dan tinta bertujuan mendidik serta menanam minat orang ramai.

Penggunaan bahan dan media adalah penting dalam menghasilkan lukisan, tetapi ini tidak bermakna penggunaan peralatan yang mahal saja mampu menghasilkan lukisan bermutu serta menarik. Grafit adalah asas melukis menggunakan pelbagai gred pensel dalam seni lukis.


KARYA unik Shanthamathe berjudul Drifting Along A Pathway.

Berkarya menggunakan peralatan asas yang biasanya mudah ditemui di kebanyakan kedai runcit, kedai alat tulis mahupun kedai buku mampu menjadikan aktiviti melukis sebagai satu terapi. Diharapkan orang ramai menggunakan semula alat tulis ini yang dikenali sejak kecil, malah digunakan dalam urusan harian sebagai detik permulaan seni mereka biarpun satu garisan atau titik.

Menurut Shanthamathe, dia bermula dengan lakaran ‘contengan’ sebelum minatnya dalam seni lukis berkembang sehingga menyertai pameran seni pertama pada 1986 dengan tema ‘Glimpses of a Fleeting Truth’.

“Laluan saya dalam bidang seni ini banyak liku dan pusingan sebelum saya akhirnya menjadikan keghairahan dalam seni ini sebagai kerjaya yang memberikan pendapatan. Selama bertahun-tahun saya bekerja dengan agensi pengiklanan antarabangsa sehingga mengambil keputusan untuk berhenti dan fokus kepada melukis.

“Pada Disember 2011, berlaku satu peristiwa yang mengubah secara tiba-tiba sudut lukisan saya. Saya menemui corak lukisan yang lebih halus dan sulit berbanding hasil sebelum ini. Saya selalu percaya bahawa dalam kehidupan ada corak tersendiri.

“Selalu mencari kebenaran, saya bayangkan corak ini mempunyai jawapan kepada hampir semua persoalan yang bermain-main di minda. Sebagai artis, saya ingin tahu jika saya boleh meluahkan kesulitan dalam kehidupan dan keindahan semula jadi dalam bahasa bercorak,” katanya.


ANTARA karya dihasilkan daripada tinta atas kertas.

Katanya, karya seni barunya itu didedahkan kepada umum buat kali pertama di Pusat Seni dan Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) pada 2012 sebelum menjayakan pameran solo bertajuk Mindsong di Pusat Kebudayaan India, Kedutaan India di Kuala Lumpur setahun kemudian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, pameran itu terus menyokong misi sosial berterusan pihaknya dengan menghormati usaha kreatif artis tempatan dan meraikan evolusi bidang karya seni negara.

“Ini adalah satu langkah positif bagi industri seni tempatan kerana siri seni Balai Seni Maybank terus berkembang dari segi jumlah artis, karya seni dan pelawat. Satu lagi faktor utama adalah kepelbagaian karya seni yang dipamerkan terdiri daripada pelbagai disiplin dan kaedah serta himpunan artis daripada latar belakang berbeza.

“Sebahagian daripada karya seni boleh dibeli di pameran ini dengan harga jualan antara RM300 hingga RM35,000, manakala artis akan menyumbang 20 peratus daripada hasil penjualan karya seni mereka kepada pelbagai organisasi amal yang disokong oleh Yayasan Maybank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 9:48 AM