Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

KESUCIAN mashaf atau sebarang bentuk bahan yang mencatatkan ayat al-Quran perlu dijaga dengan baik memandangkan ia pedoman hidup masyarakat Islam. Menjaga kesucian al-Quran bukan saja ketika proses menyalin atau mencetaknya. Malah ia juga perlu dijaga sehingga proses pelupusan jika perlu dilakukan.

Mengunjungi Pusat Percetakan Saufi di Cheras, Selangor yang sudah 15 tahun melakukan aktiviti pelupusan al-Quran sememangnya memberi gambaran jelas bahawa proses berkenaan bukanlah mudah.

Kini platform salinan ayat al-Quran sudah berkembang, bukan hanya dalam bentuk mashaf tetapi turut disalin di atas kaca, kulit, batu dan kertas majalah.


MESIN pembakar bahan yang mengandungi al-Quran yang terdapat di Percetakan Sufi. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Pemilik Pusat Percetakan Saufi, Rahmat Masdan berkata, ada pelbagai prosedur perlu dilakukan bagi memastikan mashaf, buku atau perhiasan mengandungi teks al-Quran dapat dilupuskan dengan sempurna.

Antara langkah itu ialah mengasingkan jenis naskhah yang diterima, menceraikan helaian kertas, membakar di dalam mesin pembakar khas bersuhu tinggi, menjemur debu untuk dijadikan kiub dan terakhir membuangnya ke laut.

“Kepelbagaian bahan untuk meletakkan ayat al-Quran ketika ini begitu banyak kerana ada yang menyalinnya di atas kaca atau mengukirnya pada kepingan kayu.

“Begitu juga dari segi pencetakan di atas kertas. Ada pelbagai jenis kertas digunakan seperti kertas buku biasa dan jenis berkilat yang digunakan secara meluas untuk majalah,” katanya.

Sejak 2004, secara purata syarikat kilang pelupusan berkenaan menerima 10 tan pelbagai bahan yang mengandungi teks al-Quran dan separuh daripadanya adalah mashaf.

Penyumbang bahan berkenaan adalah dalam kalangan orang awam dan institusi agama. Kebiasaannya, buku yang mengandungi teks al-Quran atau mashaf akan dimasukkan di dalam plastik dan kerja pengasingan perlu dilakukan bagi memotong lembaran naskhah menggunakan mesin khas.

Menurut Rahmat, perkara paling utama ialah ketika proses pengasingan dan memotong kertas di dalam sesuatu naskhah, adab untuk menjaga kesuciannya amat dititikberatkan dan tidak boleh diambil ringan semua pekerjanya.

Katanya, setiap pekerja perlu dalam keadaan berwuduk kerana bahan yang disumbangkan kadangkala bercampur mashaf al-Quran, pekerja wanita tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti pelupusan mashaf ketika haid dan memastikan tidak meletakkan atau menjatuhkan bahan mengandungi teks al-Quran di lantai.

“Disebabkan itu, kerja melupuskan mashaf atau buku yang mengandungi teks al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan khidmat mereka yang bukan Islam kerana khuatir adab ketika memprosesnya tidak dijaga.

“Kami mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi melancarkan pelupusan seperti meletakkan angka pada setiap troli bagi mengenal pasti jenis bahan dan memudahkan proses pelupusan mengikut giliran,” katanya yang juga mendapat lesen untuk aktiviti melupuskan mashaf al-Quran itu.


PELBAGAI bahan mengandungi teks al-Quran diserahkan kepada Percetakan Saufi untuk dilupuskan. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Ketika berada di dalam sebuah pusat pelupusan itu, keadaan di sini amat bersih dan tidak kelihatan kertas atau abu bertebaran di atas lantai meskipun kerja pemprosesannya sedang sibuk dilakukan tiga petugas.

Melangkah ke bahagian proses pembakaran, ada empat mesin pembakar dan satu daripadanya agak besar, dianggarkan ketinggiannya hampir sama dengan bangunan sekolah dua tingkat.

Pada mesin pembakar ini ada dua bahagian utama iaitu pintu untuk memasukkan kertas atau bahan untuk dibakar dan kedua, di bawahnya corong yang boleh memuatkan sebatang alat pengaut untuk mengaut debu.

Proses meletakkan kertas atau bahan ke dalam ‘mulut’ mesin berkenaan turut dilakukan secara sistematik kerana terdapat sebuah platform yang menjadi penghubung antara troli dan pintu mesin sebagai langkah berjaga-jaga ketika aktiviti pembakaran.

Bagi kertas biasa yang mudah terbakar, proses pembakarannya tidak membabitkan alat bantuan seperti minyak petrol atau gas. Malah, proses membakarnya juga agak cepat sekitar 45 minit.


Rahmat berkata, dalam setiap proses pembakaran, mereka perlu memastikan semua bahan menjadi debu sepenuhnya dan tidak sekadar kelihatan hangus kerana teks al-Quran masih boleh dilihat.

Katanya, bagi bahan yang lebih rumit untuk dihapuskan seperti kertas tebal atau kayu, pihaknya akan membakarnya menggunakan bantuan gas bagi mendapatkan suhu maksimum mencecah 700 darjah Celsius.

“Kami mahu pastikan setiap bahan yang dibakar dibawa keluar dalam bentuk abu kerana ia menandakan naskhah atau mushaf al-Quran sudah lupus dengan sempurna. Kemudian, debu berkenaan akan tarik keluar dan diletakkan di dalam bekas lain.

“Di dalam bekas pengumpul abu ini, kami akan mencampurkan sedikit air bagi mengelakkan ia tidak berserakan sekiranya ditiup angin dan memudahkan untuk dijadikan kiub.

“Selepas itu, kami akan memasukkannya di dalam bekas acuan khas untuk membentuknya menjadi kiub dan dijemur selama seminggu bagi memastikan ia kering dan keras sebelum dihantar ke laut,” katanya.

Katanya, kesedaran orang ramai untuk melupuskan mushaf atau bahan yang ada cetakan ayat al-Quran dengan cara betul ketika ini semakin tinggi memandangkan pihaknya turut menerima pelanggan yang membawa abu kepada pihaknya untuk dihantar ke laut.

“Melupuskan mushaf atau naskhah yang mengandungi teks al-Quran bukan sesuatu yang mudah kerana kami perlu memastikan ia diuruskan dengan baik dan kesuciannya juga tidak dicemari.

“Apatah lagi hari ini, ayat al-Quran dicetak di atas pelbagai material yang sudah pasti proses melupuskannya lebih rumit. Bagaimanapun, saya percaya dengan niat yang baik, segalanya dipermudahkan,” katanya yang mengenakan caj bermula RM6 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:28 AM