BERLAINAN cara samping diikat mengikut majlis dan tujuan. FOTO NSTP
DEMONSTRASI untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat umum. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

SEBUT sahaja penampilan ketika musim perayaan, biarpun zaman berubah, busana tradisional yakni pakaian seperti baju Melayu masih menjadi pilihan utama bagi jejaka Melayu.

Gandingan menambah segak dalam pakaian tradisi berkenaan tentu sekali kain samping yang biasanya terdiri daripada fabrik songket tenun baik dengan benang emas mahupun perak.

Namun tidak juga menolak, ada yang menggunakan kain pelekat atau sarung sebagai pilihan samping dalam menggayakan baju Melayu mereka.

Tidak kira apa juga fabrik yang dipilih, gaya ikatan samping sebenarnya turut menyerlahkan penampilan seseorang jejaka. Sebenarnya setiap ikatan dan lipatan itu mempunyai penceritaan atau falsafah tersendiri.


ORANG ramai berminat dengan cara ikatan samping. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

Oleh itu, setiap penggayaan itu sewajarnya perlu dirujuk kepada orang tua mahupun berpandukan apa yang disarankan dalam budaya agar tidak canggung dan bertentangan dengan maksudnya.

Menurut Pengarah Muzium Tekstil Negara, Hadijah Mohd Yunus, golongan muda seharusnya lebih menghargai pemakaian busana tradisi dengan mendalami falsafah di sebalik pemakaian.

“Sebenarnya pemakaian samping bukan hanya tinggalan warisan seni semata-mata, sebaliknya ia mempunyai penceritaan dan perlambangan tertentu yang menjadikan busana itu sesuatu indah serta dekat dengan masyarakat kita.

“Seperti kita sedia maklum, masyarakat Melayu ini penuh dengan santun dan mempunyai tertib tersendiri. Lihat saja ciri kain samping, ia lengkap dengan bahagian kepala, kaki dan badan kain.

“Selain itu pemakaian samping itu sendiri dikenakan selepas memakai seluar dengan menutup tubuh di antara pinggang dan lutut. Maksud lain bagi samping ialah ‘rusuk’ apabila kedudukan busana itu dikenakan,” katanya.

Menyentuh kepada sejarah atau cara digayakan, kata Hadijah lagi, sebenarnya dalam pemakaian busana pelengkap penampilan itu sudah bermula sejak zaman awal kerajaan Melayu seperti Palembang, Jambi, Pagar Ruyung dan Kesultanan Melayu Melaka.

“Kalau merujuk kepada sejarah pemakaian kain samping itu sendiri, sebenarnya cara ikatan dan ia digayakan berbeza mengikut darjat dalam masyarakat ketika itu.

“Bagi golongan bangsawan atau pembesar pastinya tidak serupa dengan orang kebanyakan. Contohnya larangan ke atas orang kebanyakan daripada memakai samping dengan ikat pancung atau dilarang bertengkolok dan berbaju ‘sarung,’ kecuali selepas dianugerahkan raja,” katanya.

Tambah Hadijah lagi, pemakaian samping itu tinggi falsafahnya termasuk bertujuan melindungi aurat selain tanda kehormatan diri.

“Pemakaian samping sesuai dengan falsafah prinsip agama Islam iaitu membawa erti aurat bagi lelaki sehingga ke paras lutut. Ia harus dikenakan dengan meletakkan lipatan kiri di sebelah bawah dan lipatan kanan di sebelah atas berdasarkan perbuatan qiam dalam solat (tangan kiri di bawah dan tangan kanan di atas).


ORANG ramai berminat dengan cara ikatan samping. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

“Malah orang tua dahulu mengatakan dengan cara pakaian samping sahaja mereka sudah tahu siapa individu terbabit. Namun perlu ingat peraturan asasnya ialah kepala kain samping seharusnya terletak di bahagian belakang (punggung pemakainya.

“Samping yang dikenakan orang bujang kedudukan labuh kainnya atas lutut iaitu pada jarak dua jari atas tempurung lutut. Manakala bagi lelaki yang sudah berkahwin, hujung kain samping mereka berada di bawah lutut ialah dengan lebar dua jari dari paras lutut.

“Jika seseorang yang sudah berkahwin itu memakai samping di atas paras lutut, ia bermaksud pemakai berhasrat untuk berkahwin lagi,” katanya yang turut memaklumkan golongan bangsawan mengenakan samping dengan cara labuh kain samping selebar telapak tangan di bawah lutut.

Mengenai cara ikatan samping, kata Hadijah, setiap ikatan berbeza mengikut negeri asal mahupun acara dihadiri pemakainya.

“Sehingga hari ini ikatan sering digayakan lelaki ketika musim perayaan mahupun menghadiri acara rasmi ialah ikatan lingkup. Ia sama seperti pemakaian kain sarung harian.

“Bahagian kain digulung ke atas dan dilipatkan ke bahagian depan samping. Biasanya boleh disiapkan dalam tempoh singkat.

“Bagi pengantin pula ikatan berbeza iaitu ikatan kembung iaitu kesan ‘mengembung’ saat memakai ikatan ini. Tekniknya ialah kain ditarik ke bahagian tengah atau tepi badan, kemudian diikat dan disimpul agar melekat di pinggang. Bagi merapikan ikatan berkenaan biasanya bengkung digunakan,” katanya.

Hadijah berkata, ikatan seperti ikatan pancung dan pahlawan juga sering digunakan kebanyakan orang bagi tujuan tertentu.

“Ikatan pancung ialah ikatan sering dilihat pada penari iaitu dengan cara menggunakan kain lepas, yang kemudiannya akan dililit di pinggang dan sebelum sampai ke hujung kain, kain ini ‘dipancung,’ iaitu bermaksud ia disemat sambil membiarkan hujung kain terkulai ke bawah.

“Ikatan ini lapang dan luas bagi memudahkan pergerakan ketika menarik begitu juga dengan ikatan pahlawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 9:22 AM