ANTARA koleksi manuskrip asli yang masih disimpan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


SEMEMANGNYA sudah disebutkan di dalam al-Quran, naskhah daripada Tuhan itu adalah sempurna dan melengkapi kehidupan manusia tanpa membataskan persempadanan negara.

Malaysia kini menjadi contoh kebanyakan negara Islam lain berikutan kemampuannya menjadi sebuah negara moden dan maju, pada masa sama masih mengamalkan pegangan Islam yang kuat.

Berteraskan al-Quran sebagai pedoman membangunkan masyarakat beragama Islam, Malaysia mempunyai kepakaran menerusi kajian akademik dan golongan agamawan untuk memastikan mushaf al-Quran yang digunakan tiada kesilapan meskipun melalui pelbagai revolusi salinan.

Pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mustaffa Abdullah berkata, secara umumnya revolusi salinan al-Quran di Malaysia berlaku dalam dua bentuk, pertama manuskrip menerusi tulisan tangan dan kedua, cetakan.

Beliau berkata, dari segi sejarah industri cetakan di alam Melayu bermula pada awal abad ke-19 membabitkan dua kaedah yang popular iaitu cetakan batu (litografi) dan cetakan logam (tipografi).


PENGELUARAN mushaf al-Quran secara besar-besaran di Malaysia boleh mengeratkan hubungan antarabangsa. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Seperti kita tahu Singapura adalah sebahagian daripada kita suatu ketika dahulu. Pada waktu itu industri cetakan al-Quran mula bergerak di Singapura kerana ia mempunyai lokasi yang strategik sebagai tempat perdagangan dan mudah untuk diedarkan ke negeri lain di sekitarnya.

“Menerusi kajian yang dilakukan ahli akademik Barat, Annabel Teh Gallop mendapati manuskrip al-Quran tertua di alam Melayu dihasilkan pada 993 Hijrah bersamaan 1583 Masihi. Bagaimanapun, penulis bagi manuskrip berkenaan tidak dapat dikesan,” katanya.

Dr Mustaffa berkata, menerusi kajian lain mendapati manuskrip al-Quran kedua tertua bertarikh 7 Zulkaedah 1005 Hijrah bersamaan 1597 Masihi. Ditulis oleh al-Faqih al-Salih 'Afif al-Din Abd al-Baqi Abd Allah al-Adni yang dihasilkan di Ternete, Maluku, Indonesia.

“Manuskrip al-Quran terawal di Tanah Melayu dijumpai di Kedah dan ia dipercayai siap ditulis pada 25 Ramadan 1166 Hijrah bersamaan 26 Julai 1753 Masihi di Kampung Saujana, Bandar Kedah.

“Manuskrip ini dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa yang memerintah Kedah pada ketika itu. Penyalinnya adalah Ali Abdullah iaitu seorang penulis berketurunan Bugis,” katanya.

Perkembangan penulisan al-Quran di Malaysia seterusnya berkembang baik apabila Terengganu muncul sebagai tempat yang banyak menghasilkan dan mengedarkannya pada abad ke-18 dan 19 Masihi.

Manuskrip al-Quran Terengganu berkenaan yang siap penulisannya pada 27 Disember 1836 itu ketika ini terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia sebagai salah satu bahan sejarah negara.

Pakar itu berkata, salinan al-Quran ketika zaman kesultanan amat penting bagi membolehkan masyarakat setempat dapat memahami pedoman Islam yang sebenar dan ia diturunkan dari generasi ke generasi yang lain.


AKTIVITI menyalin al-Quran di Malaysia adalah langkah untuk memartabatkan Islam di negara ini dan negara lain. FOTO Zunnur Al Shafiq

Jelasnya, perkembangan revolusi al-Quran daripada salinan, cetakan dan digital pada hari ini bukan saja penting sebagai medium rujukan penganutnya tetapi mampu mengeratkan hubungan antarabangsa.

“Seperti yang kita tahu salinan al-Quran untuk dijadikan manuskrip di Malaysia ini mempunyai pengaruh yang kuat dari negara di Nusantara memandangkan pada waktu itu aktiviti penghijrahan manusia dari satu negara ke negara yang lain di rantau berkenaan.

“Jadi, salinan al-Quran yang berlaku di rantau ini menjadikan hubungan antara negara menjadi lebih kuat kerana kita mempunyai kefahaman dari sudut agama sejak dahulu lagi," katanya.

Tidak sekadar itu, Mustaffa berkata, usaha Malaysia pada hari ini yang melakukan usaha mewujudkan manuskrip al-Quran dan mencetaknya untuk diedarkan bukan saja untuk kegunaan tempatan, malah antarabangsa dapat membantu mengeratkan hubungan antara negara.

“Meskipun kita menjadi pengeluar kedua al-Quran terbesar di dunia selepas Arab Saudi, ia bukan menjadi satu persaingan. Perkara ini adalah untuk menjadikan pengaruh Islam itu lebih luas di dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:44 AM